G. Parameswaran

KUALA LUMPUR – Menteri Ekonomi Rafizi Ramli digesa supaya meletakkan jawatan selepas mengambil keputusan untuk menjadi juri dalam rancangan televisyen iaitu Program Innovathon di Astro.

Naib Presiden Parti Gerakan Rakyat (Gerakan),  Datuk G. Parameswaran berkata, penyertaan Rafizi itu dilihat tindakan ‘canggung’ yang tidak pernah dilakukan oleh mana-mana menteri sebelum ini.

“Rafizi sedar atau tidak bahawa beliau adalah seorang menteri, bukannya artis. Kalau Fahmi Fadzil mungkin rakyat tidak bising.

“Sebagai seorang menteri, beliau sepatutnya fokus dalam menyelesaikan masalah ekonomi negara bukannya jadi juri dalam program televisyen malah berganding dengan artis terkenal, Fazura” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu beliau mewakili Gerakan mengecam keputusan Rafizi untuk menjadi juri program realiti yang dijadualkan bersiaran 15 Julai ini.

Parameswaran mendakwa, keputusan untuk menjadi juri akan menjejaskan tanggungjawab utama Rafizi sebagai menteri ekonomi akan terjejas.

“Tidak menjadi juri pun ekonomi negara merosot apatah lagi bila terlibat sebagai juri.

“Siapa yang akan buat kerja ekonomi? Adakah perdana menteri selaku menteri kewangan itu mengambil alih?,” soalnya.

Dalam masa yang sama beliau menggesa supaya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya memantau menteri dalam Kabinetnya.

“Jangan disebabkan ingin mengejar populariti, ekonomi dan negara tergadai,” tegasnya.

Program Innovathon adalah hasil kerjasama antara Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti), Kementerian Ekonomi serta Astro.

Program realiti itu akan memaparkan kemahiran dan idea inovatif dalam kalangan rakyat Malaysia bagi mencari penyelesaian isu berteraskan sosioekonomi.

Selain Rafizi, barisan juri tetap program itu ialah Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang dan artis terkenal, Fazura bersama 100 juri awam yang terdiri daripada pelbagai latar belakang. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Kedua2 menteri tersebut adalah menteri yang gagal, malah ramai yang tidak mengenali menteri sains tersebut. Apa skop kerja dan pencapaian ramai yang tak tahu.

    Jadi inilah peluang untuk mencari populariti. Rakyat gesa kedua2nya disingkirkan dan ditukar kepada calon yang lebih berkredibiliti.

Comments are closed.