KUALA LUMPUR – Kerajaan Kelantan akan menyediakan pengangkutan bas kepada mahasiswa untuk pulang mengundi ke negeri tersebut.
Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob berkata, ketetapan tersebut diambil melalui Persidangan Majlis Mesyuarat Kerajaan Bilangan 13/2023 bertarikh 21 Jun lalu.
Katanya, kemudahan berkenaan disediakan berdasarkan jangkaan kos perkhidmatan pengangkutan akan meningkat dan terhad disebabkan permintaan yang tinggi ketika musim pilihan raya.
Ahmad berkata, Kemudahan tersebut akan meringankan bebanan yang akan ditanggung oleh mahasiswa mahupun keluarga pelajar terbabit.
“Kerajaan Negeri Kelantan sangat menyedari kepentingan mahasiswa dan mahasiswi dalam menunaikan tanggungjawab sebagai pemilih demi masa depan negara.
“Penglibatan mahasiswa dan mahasiswi sebagai pemilih dalam pilihan raya memberi impak yang sangat besar dalam membina negara melalui pentas demokrasi.
“Justeru, hak mereka sebagai pemilih tidak boleh dinafikan hanya disebabkan tekanan ekonomi dan kos sara hidup,” katanya dalam kenyataan.
Ahmad berkata, pelajar tidak akan terikat dengan apa-apa syarat dan mereka bebas menggunakan hak untuk memilih calon atau parti politik pada hari pengundian.
Perkhidmatan pengangkutan akan diuruskan oleh satu Jawatankuasa Khas yang diketuai oleh Pejabat Perbendaharaan Negeri Kelantan dan diurusetiakan oleh Pejabat Pembangunan Negeri.
Tarikh bagi perjalanan balik adalah bermula 6 hingga 11 Ogos dan tarikh kembali ke destinasi asal adalah pada 13 hingga 15 Ogos 2023.
Keterangan lanjut boleh didapati dengan menghubungi Pejabat Pembangunan Negeri di talian 09-7481180.- MalaysiaGazette