KUALA LUMPUR – Pendapatan e-dagang oleh pertubuhan di Malaysia mencatatkan pertumbuhan ketara 10.4 peratus tahun-ke-tahun pada suku tahun pertama 2023 untuk mencapai RM291.7 bilion dipacu oleh sektor pembuatan dan perkhidmatan.
Pada tahun 2022, pendapatan e-dagang merekodkan RM1,099.7 bilion, meningkat 6.0 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) berkata, perbandingan suku tahun ke suku tahun pula, RM264.3 bilion direkodkan pada suku tahun pertama 2022, meningkat kepada RM273.8 bilion pada suku kedua.
Pendapatan e-dagang terus menunjukkan trend peningkatan pada suku tahun ketiga dengan merekodkan RM274.6 bilion dan RM287.1 bilion pada suku tahun keempat.
Prestasi memberangsangkan ini dapat dikaitkan dengan inisiatif kerajaan antaranya menyediakan gerbang e-dagang serantau, melabur dalam syarikat-syarikat e-dagang baharu, menggalakkan inovasi melalui kerjasama dalam pematuhan peraturan, serta meningkatkan aksesibiliti komunikasi dan rangkaian jalur lebar.
Usaha-usaha ini telah menghasilkan manfaat ekonomi yang signifikan, termasuk peningkatan dalam penggunaan teknologi digital dan prestasi keseluruhan yang lebih baik.
Pendapatan e-dagang meningkat 23.9 peratus pada tahun 2021 berbanding 2019, mencatatkan RM1,037.2 bilion.
Analisis pendapatan e-dagang mengikut segmen pasaran mendapati, segmen pasaran tempatan yang dijana daripada jualan di Malaysia, mencatatkan peningkatan yang ketara sebanyak 25.5 peratus, berjumlah
RM932.7 bilion pada tahun 2021. Sementara itu, jualan e-dagang di pasaran antarabangsa meningkat 11.9 peratus kepada RM104.5 bilion.
Pendapatan e-dagang mengikut jenis pelanggan pula mendapati Business to Consumer (B2C) meningkat 26.2 peratus kepada RM308.9 bilion.
B2B pula meningkat 25.9 peratus kepada RM713.1 bilion.
Pada masa yang sama, Business to Government (B2G) menurun -31.0 peratus kepada RM15.2 bilion.
Statistik ini menunjukkan pertumbuhan yang memberangsangkan dan kesan ekonomi terhadap e-dagang di Malaysia terutama di segmen pasaran tempatan, segmen transaksi B2B dan B2C.
Walau bagaimanapun, B2G mengalami penurunan dalam tempoh yang sama.
Perbelanjaan e-dagang meningkat sebanyak 23.6 peratus kepada RM460.8 bilion.
Segmen pasaran tempatan melonjak sebanyak 25.8 peratus kepada RM426.8 bilion, manakala pasaran antarabangsa bertumbuh sebanyak 3.2 peratus kepada RM34.0 bilion.
Perbelanjaan e-dagang mengikut jenis pasaran melalui transaksi B2B meningkat sebanyak 20.5 peratus kepada RM403.1 bilion, diikuti oleh B2C sebanyak 85.0 peratus kepada RM50.8 bilion.
Sementara itu, B2G mengalami penurunan sebanyak -12.6 peratus kepada RM7.0 bilion.
Seterusnya, penggunaan komputer mencatat peningkatan sebanyak 7.6 mata peratus kepada 93.8 peratus, diikuti oleh penggunaan internet (peningkatan sebanyak 5.4 mata peratus kepada
90.6 peratus), dan web presence (peningkatan sebanyak 9.4 mata peratus kepada 63.3 peratus).
Pertubuhan dalam sektor maklumat & komunikasi, kewangan & takaful/insurans, dan hartanah menggunakan sepenuhnya internet dan komputer dalam perniagaan mereka.
Walaupun wabak Covid-19 memberi kesan negatif kepada kesihatan dan ekonomi secara keseluruhan, di sisi yang lain, ia juga memberikan kesan positif yang ketara dalam meningkatkan aktiviti e-dagang di Malaysia.
Sekatan dan langkah keselamatan yang dikenakan untuk mengawal penularan virus seperti kawalan pergerakan, penjarakan sosial dan operasi kedai fizikal yang terhad telah menyebabkan peningkatan dalam pembelian dalam talian dan transaksi digital.
Secara keseluruhannya, wabak Covid-19 telah pemacu pertumbuhan e-dagang di Malaysia, kata DOSM. – MalaysiaGazette