Natalia Borhan dari (UUM) johan (tengah), naib johan Deborah Ruran Johnson dari (UMS) kiri dan ketiga Muhammad Amir Nuruddin Abdul Jalil (UMP)

KUALA LUMPUR – Seramai 50 mahasiswa dari universiti awam menyertai program pertandingan Fotografi Jelajah Budaya Sabah Majlis Kebudayaan Universiti-Universiti Malaysia (Makum) baru-baru ini untuk mempromosikan keunukan kebudayaan Sabah melalui fotografi.

Natalia Borhan dari Universiti Utara Malaysia (UUM) dinobatkan sebagai johan pertandingan, diikuti naib johan oleh Deborah Ruran Johnson dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan tempat ketiga diraih oleh Muhammad Amir Nuruddin Abdul Jalil dari Universiti Malaysia Pahang (UMP).

Pemenang lain ialah Che Wan Abdul Hakim Che Wan Md. Syaid dari UPM meraih tempat keempat, kelima Jafni Jaffar dari Universiti Malaysia Sarawak, keenam Alesandra Entira Anak Purah dari UTeM dan ketujuh Ahmad Faiz Asyraf Ahmad Halimi dari Universiti Malaysia Kelantan.

Pengerusi Makum, Prof. Dr. Arifin Abdu berharap pertandingan Fotografi Jelajah Budaya Sabah MAKUM 2023 mampu mempromosikan kepelbagaian budaya dan etnik Sabah yang unik kepada masyarakat di luar Sabah.

“Peserta berpeluang menunjukkan kreativiti dalam merakamkan foto kepelbagaian 40 etnik Kadazan, Dusun dan Murut di Penampang. Untuk ke arah ‘Pemerkasaan Mahasiswa’ yang dihasratkan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, pertandingan ini dianjurkan oleh UMS dengan kerjasama Majlis Kesenian dan Kebudayaan Mahasiswa Kebangsaan (Makma) dan Makum,” katanya.

Arifin berkata, impak program membolehkan pelajar-pelajar menelusuri akar budaya, meningkatkan persefahaman dan menghormati kepelbagaian kaum ke arah citra Madani.

Sementara itu, Pengerusi Makma, Siti Amesya Amiruddin, pelajar dari Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) berkata, para peserta pertandingan juga telah dibawa berkunjung ke tiga buah pulau berhampiran Kota Kinabalu iaitu Pulau Sapi, Pulau Manukan dan Pulau Mamutik untuk merakamkan keindahan panorama Sabah yang menjadi tarikan pelancong.

Program pertandingan selama lima hari di sekitar Kota Kinabalu dan Penampang itu dirasmikan oleh Naib Canselor UMS, Datuk Dr. Kasim Md. Mansur. – MalaysiaGazette