Gambar hiasan

NIBONG TEBAL – Mayat seorang lelaki ditemui dalam keadaan perutnya terbelah manakala lehernya diikat dengan bongkah batu ditemui berhampiran jeti Bagan Bukit Tambun di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Ng Ah Thiam berkata, mangsa ditemui dalam keadaan memakai baju-T berwarna merah serta seluar boxer berwarna hitam.

“Hasil pemeriksaan mendapati tangan serta kaki mangsa diikat manakala lehernya diikat dengan satu bongkah batu. Selain itu, pemeriksaan lanjut juga membawa kepada penemuan kesan belahan menggunakan senjata tajam di bahagian perutnya.

“Bagaimanapun, identiti mangsa masih belum dikenal pasti setakat ini,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Terdahulu beliau berkata, pihaknya bergegas ke lokasi selepas menerima maklumat berhubung kejadian pukul 11.45 pagi.

Tambah Ah Thiam, mayat mangsa dihantar ke Hospital Sungai Bakap untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh.

Sehubungan itu, orang awam yang kehilangan ahli keluarga atau mempunyai maklumat berhubung kes ini diminta tampil atau menghubungi pegawai penyiasat kanan Asisten Superintendan Mohd Hafiz Mohd Noor di talian 019 465 0777 membantu siasatan. – MalaysiaGazette