Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man

KUALA LUMPUR – Senarai nama ‘calon-calon’ Perikatan Nasional bagi pilihan raya negeri yang tular di media sosial adalah palsu.

Timbalan Presiden Pas Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mengesahkan senarai tersebut bukan daripada PN.

“Tak betul. Saya boleh sahkan senarai itu tak betul dan palsu,” katanya kepada media.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri program Pakat Pertahan peringkat Kubang Kerian di Kota Bharu malam tadi.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu berkata, adalah sukar untuk Pas mengawal segala maklumat yang tersebar media sosial.

“Kadang-kadang keputusan mengundi pun keluar dahulu sebelum orang keluar bilangan undi,” katanya seperti yang dilaporkan Malaysiakini.

Senarai nama tersebut memaparkan nama calon bagi 45 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan termasuk nama bekas Ketua Pemuda Pas Nik Abduh Nik Abdul Aziz.

Tuan Ibrahim berkata, urusan pemilihan nama bagi calon-calon parti itu belum selesai.

Semua kawasan katanya, telah diminta untuk menghantar sekurang-kurangnya dua nama sebagai cadangan untuk dipilih sebagai calon.

Kelayakan mereka akan ditentukan oleh Majlis Syura Ulama yang akan bermesyuarat bagi meneliti senarai berkenaan minggu ini.

Beliau berkata, selepas itu nama yang layak dihantar kepada Jawatankuasa Pas Pusat bagi ditentukan oleh presiden bersama pimpinan negeri.

“Saya rasa kali ini lebih cepat, mungkin antara tempoh seminggu hingga dua minggu ini (selesai),” katanya.-MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast