Bangunan Bursa Malaysia di Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia dijangka diniagakan lebih baik dengan aktiviti belian saham pada harga rendah minggu depan dalam persekitaran sentimen berhati-hati berikutan pelabur memantau data inflasi Amerika Syarikat (AS) yang akan datang, ucapan daripada pegawai-pegawai Rizab Persekutuan (Fed) AS dan pengumuman pendapatan oleh bank-bank AS.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata, walaupun sentimen berhati-hati, akan ada aktiviti belian saham pada harga rendah berikutan penilaian FBM KLCI yang murah, justeru, jangkaan indeks petunjuk pasaran akan berada pada aliran meningkat.

“Bagi minggu depan, kami menjangka akan ada aktiviti belian saham pada harga rendah berdasarkan penilaian indeks petunjuk pasaran yang murah, yang diniagakan pada 13 kali berbanding purata lima tahun sebanyak 17 kali.

“Selain itu, sokongan belian daripada institusi tempatan agak ketara. Oleh itu, kami menjangka indeks akan menunjukkan prestasi yang lebih positif dan menjangka akan berada antara julat 1,375-1,395 pada minggu depan dengan paras halangan segera pada 1,400 manakala paras sokongan pada 1,373,” katanya kepada Bernama.

Minggu depan, pelabur dijangka memantau Indeks Harga Pengguna (IHP) China dan ucapan oleh pegawai-pegawai Fed, iaitu Presiden Fed San Francisco Mary Daly, Presiden Fed Cleveland Loretta Mester dan Presiden Fed Atlanta Raphael Bostic pada 10 Julai manakala Presiden Fed St Louis James Bullard akan memberikan ucapannya pada 11 Julai.

Selain itu, pelabur juga akan melihat laporan IHP AS bagi Jun pada 12 Julai, perdagangan China pada 13 Julai dan pengumuman pendapatan oleh bank-bank AS (SPX500_m: pendapatan bank – Wells Fargo, JP Morgan dan Citigroup) pada 14 Julai.

Pada asas Jumaat kepada Jumaat, FBM KLCI naik 0.99 mata untuk ditutup kepada 1,377.67 daripada 1,376.68 pada minggu sebelumnya.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 25.14 mata kepada 10,166.48, Indeks FBMT 100 meningkat 16.32 mata kepada 9,860.32, Indeks FBM Emas Shariah menambah 16.31 mata kepada 10,431.18, Indeks FBM 70 menokok 61.11 mata kepada 13,445.69 dan Indeks FBM ACE naik 71.85 mata kepada 5,139.87.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 44.62 mata kepada 15,377.49, Indeks Perladangan melonjak 104.28 mata kepada 6,802.93, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan naik 1.33 mata kepada 158.25 dan Indeks Tenaga menambah 18.11 mata kepada 792.20.

Jumlah dagangan mingguan meningkat kepada 12.19 bilion unit bernilai RM7.66 bilion daripada 10.63 bilion unit bernilai RM6.44 bilion pada minggu dagangan sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran Utama naik kepada 8.52 bilion saham bernilai RM6.43 bilion daripada 7.57 bilion saham bernilai RM5.49 bilion pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan waran menambah kepada 1.36 bilion unit bernilai RM225.95 juta daripada 868.29 juta unit bernilai RM147.26 juta minggu lepas.

Jumlah dagangan Pasaran ACE naik kepada 2.25 bilion saham bernilai RM994.16 juta daripada 2.15 bilion saham bernilai RM809.51 juta sebelum ini. – BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast