Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka diniagakan rendah minggu depan berdasarkan jangkaan stok yang tinggi dan permintaan rendah.

Peniaga minyak sawit David Ng berkata, laporan bekalan dan permintaan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dijadualkan akan dikeluarkan pada Isnin, yang akan menentukan pergerakan pasaran pada sepanjang minggu tersebut.

Beliau berkata, stok dijangka meningkat sebanyak enam peratus pada Jun 2023 berbanding Mei 2023.

“Oleh itu, kami menjangka harga akan berada antara RM3,650 dan RM3,900 satu tan,” katanya kepada Bernama.

Ketua Penyelidikan Komoditi Sunvin Group yang berpangkalan di Mumbai Anilkumar Bagani baru-baru ini mengunjurkan bahawa stok minyak sawit Malaysia pada akhir Jun sebanyak 1.86 juta tan, meningkat 11 peratus daripada 1.69 juta tan pada Mei, berikutan pengeluaran merosot sebanyak tiga peratus dan penurunan eksport sebanyak 2.7 peratus.

Terdahulu, Persatuan Minyak Sawit Malaysia menganggarkan pengeluaran minyak sawit pada Jun sebanyak 1.41 juta tan, berkurangan 7.39 peratus daripada Mei.

Ng berkata pasaran juga terus menjejaki pergerakan harga minyak kacang soya, yang kini berada pada aliran meningkat berikutan pengeluaran rendah di AS disebabkan keadaan cuaca yang buruk.

Katanya apabila harga minyak kacang soya yang menjadi saingan tinggi, begitu juga harga minyak sawit.

Bagi minggu baru berakhir, niaga hadapan MSM diniagakan kebanyakannya rendah menjejaki pergerakan niaga hadapan minyak kacang soya di Lembaga Perdagangan Chicago (CBOT).

Pada Isnin, bulan penanda aras MSM ditutup hampir paras RM4,000 pada paras tertinggi dalam tempoh lebih tiga bulan berikutan kenaikan dalam pasaran minyak sayuran.

Pasaran kebanyakannya kekal rendah berikutan kebimbangan mengenai eksport dan stok serta prospek kadar faedah AS.

Pada asas mingguan, Julai 2023 meningkat RM6 kepada RM3,757 satu tan, Ogos 2023 naik RM20 kepada RM3,814 satu tan, September 2023 menambah RM45 kepada RM3,834 satu tan, Oktober 2023 naik RM64 kepada RM3,849 satu tan, November 2023 meningkat RM69 kepada RM3,860 satu tan dan Disember 2023 menokok RM76 kepada RM3,874 satu tan.

Jumlah dagangan mingguan meningkat kepada 338,013 lot daripada 212,304 lot manakala kepentingan terbuka merosot kepada 181,912 kontrak daripada 237,110 kontrak pada Jumaat lepas.

Harga MSM fizikal bagi Julai Selatan tidak berubah pada RM3,830 satu tan. – BERNAMA