KUALA LUMPUR – Pengasas syarikat penerbangan murah, AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes meluahkan rasa sedih dengan pemergian Datuk Pahamin Rajab hari ini.
Pahamin disifatkan Tony sebagai salah seorang Pengasas Bersama AirAsia yang asal.
“AirAsia tidak akan wujud tanpa Datuk Pahamin Rajab. Pahamin adalah rakyat Malaysia yang hebat, seorang patriot sejati dan sahabat terbaik.
“Walaupun kami tidak lagi kerap bertemu, beliau sentiasa berhubung dan penyokong yang hebat,” katanya di laman sosial Facebook beliau.
Allahyarham yang juga bekas Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan meninggal dunia di dalam pesawat ketika menuju ke United Kingdom (UK) malam tadi.
Kata Tony lagi, AirAsia akan mengadakan penghormatan bersesuaian kepada Pahamin.
“Berehat dengan tenang wahai sahabat. Ingatan terhadapnya akan diteruskan di dalam diri cucunya, Kasih Iris Leona yang ‘bapak borek, anak rintik’ dan akan membawa AirAsia ke tahap lebih tinggi,” katanya.
Pagi tadi, menantu Allayarham, Azhar Sulaiman memaklumkan Pahamin meninggal dunia akibat serangan jantung ketika dalam penerbangan ke London.
“Dukacita saya nak maklumkan bapa mentua saya Datuk Pahamin Rajab baru meninggal dunia. Dia baru sampai London kena serangan jantung dalam penerbangan dan sekarang ibu mentua dan anak lelaki saya ada di London,” ujarnya. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: