Salahuddin Ayub .

KOTA KINABALU – Parti Amanah Negara (Amanah) menzahirkan rasa pelik dengan tindakan PAS yang tidak berhasrat mengemukakan rayuan terhadap keputusan petisyen pilihan raya bagi Parlimen Kuala Terengganu.

Timbalan Presiden Amanah Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata tindakan PAS itu seolah-olah mengaku wujud unsur rasuah sewaktu Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Tidak rayu ini maknanya secara mudah ialah mengaku. Mengapa tidak rayu? Kalau isu teknikal itu saya rasa bolehlah kita pandang sepi tapi kalau orang tuduh kita rasuah, lakukan rasuah pilihan raya, tidak merayu, jadi ini mungkin ada something wrong.

“Saya rasa pelik sedikit kerana sepatutnya kalau kita betul-betul pertahankan kita tidak rasuah maka logiknya, kita akan rayu kes itu di peringkat Mahkamah Rayuan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Semalam, Setiausaha Agung PAS Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata keputusan tidak mengemukakan rayuan itu dilakukan bagi memastikan kebajikan rakyat tidak terabai disebabkan ketiadaan Ahli Parlimen kerana Mahkamah Persekutuan akan mengambil masa enam bulan untuk menyelesaikan kes tersebut.

Pada 27 Jun lepas, Mahkamah Pilihan Raya Terengganu membatalkan kemenangan Datuk Ahmad Amzad Hashim, yang mewakili PAS, bagi kerusi Parlimen Kuala Terengganu pada PRU15 selepas memutuskan bahawa pihak pempetisyen, iaitu calon Barisan Nasional Datuk Mohd Zubir Embong, berjaya membuktikan perbuatan rasuah telah berlaku dengan tujuan mempengaruhi pengundi.

Pada PRU15, Ahmad Amzad memenangi kerusi Parlimen Kuala Terengganu dengan memperoleh majoriti 40,907 undi selepas menewaskan tiga pencabar lain termasuk Mohd Zubir. – BERNAMA

1 Komen

  1. Gelabah beruk PAN bila PAS tidak bantah batal MP Kuala Terengganu. UMNO pula CUAK terfikir DANA bertanding… dapat RM 50K.. bayar lawyer dan urusan lain hampir RM 200K… untuk HADAP PRN!!!! mahu makan 2juta… results KALAH lagi…. ini bukan tenggelam ni… tapi TERTANAM.. tapi hasil dulu-dulu masih TEBAL kot… gunakanlah… pada ZAHID HAMIDI pun bertimbun tu…

Comments are closed.