Ahmad Zahid Hamidi. Foto MOHD ADZLAN 09 JULAI 2023.

PUTRAJAYA – Kerajaan bimbang terhadap peningkatan jumlah penagih dadah dengan anggaran 1.09 juta warga negara ini adalah penagih dadah.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, daripada jumlah tersebut seramai 1,051,712 adalah lelaki dan 45,696 orang adalah wanita.

“Saya melahirkan rasa kebimbangan apabila melihat statistik anggaran jumlah penagih dadah keseluruhan meningkat kepada 1,097,408 orang penagih,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Membanteras Gelaja Dadah (JKMD) bilangan satu tahun ini, di Perdana Putra, hari ini.

Tambah Ahmad Zahid, lebih menyedihkan apabila 328,640 orang berumur antara 15 hingga 29 tahun.

Dalam pada itu, beliau berkata, enam daripada 100 rakyat di negara ini pernah mengambil dadah.

“Dapatan satu kajian oleh pihak Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 2020 yang menunjukkan bahawa bagi setiap 100 orang belia di negara ini, 6 orang mengaku pernah mengambil dadah, manakala 4 orang mengaku masih aktif mengambil dadah pada tempoh kajian dijalankan pada 2022,” katanya ujarnya.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, kerajaan memberi tempoh tiga bulan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) bagi mengusahakan koordinasi di antara beberapa agensi yang berkaitan agar bersama-sama berganding bahu merangka, menyusun inisiatif atau program yang efektif dan bermanfaat.

Katanya, langkah itu diambil agar gejala dadah dapat dibendung dengan lebih berkesan di samping mengusahakan pemulihan kepada penagih dadah sedia ada.

“Mesyuarat juga bersetuju bagi memastikan pemerkasaan undang- undang diperkukuhkan bagi mencegah penyalahgunaan dadah ini di semua peringkat. Keberkesanan tentang penguatkuasaan undang- undang di dalam negara juga akan diperhalusi bagi menangani penyalahgunaan dadah secara tuntas,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast