institusi kehakiman
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Persidangan Antarabangsa Undang-Undang Malaysia 2023 di Hotel Shangri-La, Kuala Lumpur. Foto FAREEZ FADZIL, 10 JULAI 2023.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau akan mempertahankan kebebasan institusi kehakiman dalam apa keadaan sekali pun.

Menurut beliau, sebelum ini dapat disaksikan institusi kehakiman berdepan serangan yang ‘ganas’.

Anwar berkata, situasi itu berlaku akibat tindakan mereka yang memegang kuasa melanggar prinsip pengasingan kuasa dengan sewenang-wenangnya.

“Tindakan ini menyebabkan proses kehakiman itu digugat terutamanya dalam kes melibatkan ahli-ahli politik yang menimbulkan ancaman serius kepada pihak berkuasa.

“Sebagai ‘tebusan’ personaliti-personaliti terbabit, hakim-hakim tertentu seterus membuat penghakiman yang secara terang-terangan bercanggah dengan tanggapan kita tentang keadilan dan nurani kita mengenai apa yang baik,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama apda Persidangan Antarabangsa Undang-undang Malaysia di Kuala Lumpur, pagi ini.

Anwar turut memberi pujian kepada Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat atas keberanian beliau memainkan peranan dalam memperkukuhkan kepercayaan terhadap sistem kehakiman.

“Maksud saya, hasil pendiriannya yang teguh berhubung kebebasan jawatan yang disandang beliau serta hakim-hakim lain yang berdepan serangan bertubi-tubi, ruang bagi kesinambungan kebebasan institusi kehakiman tampak jelas dan menggalakkan,” jelasnya. – MalaysiaGazette