Dua mayat lelaki bertatu dibungkus dalam kanvas dipercayai dibunuh sebelum dibuang dalam kawasan semak di tepi jalan Kampung Ujong Padang, Cheng, Melaka.

MELAKA – Dua mayat lelaki bertatu dipercayai dibunuh sebelum dibuang ditemukan dalam kawasan semak di tepi jalan Kampung Ujong Padang, Cheng, di sini, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, mayat kedua-dua lelaki berbungkus dalam kanvas berikat itu ditemukan seorang penghantar barang runcit kira-kira pukul 9 pagi.

Menurutnya, siasatan awal mendapati, tubuh pertama dijumpai dalam kanvas yang diikat dengan tali dan tali kabel lengkap berpakaian baju T dan berseluar jeans pendek.

“Tubuh kedua pula ditemukan dalam kanvas bersebelahannya yang hanya memakai seluar pendek dan kedua-dua tubuh tidak mempunyai sebarang pengenalan diri.

“Hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua mayat mempunyai tatu pada badan namun siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana bunuh,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Tambahnya, kedua-dua mangsa dipercayai dibunuh di tempat lain sebelum mangsa yang disyaki mati sejak dua atau tiga hari lalu dibuang di kawasan semak itu.

“Setakat ini, kita tidak dapat mengesahkan adakah tatu pada badan mangsa boleh dikaitkan dengan mana-mana kumpulan kongsi gelap dan berharap orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi sehingga siasatan selesai.

“Mereka yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes ini boleh menghubungi pegawai penyiasat ASP Muhather Abd Kudus di talian 013-2884878. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast