Ab Rauf merasmikan jalan pintas baharu dari persimpangan Jalan Alor Gajah Lama (M17) ke Taman Murai Jaya, Durian Tunggal, Melaka hari ini.

ALOR GAJAH – Kementerian Kerja Raya sedia membantu Melaka melengkapkan kemudahan diperlukan termasuk mengatasi masalah kesesakan jalan raya sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) pada tahun hadapan.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, usaha itu sudah dibincangkan bersama Ketua Menteri Datuk, Seri Ab Rauf Yusoh di pejabatnya di Seri Negeri, pagi tadi.

“Pagi tadi, saya ada berbincang dengan ketua menteri mengenai keperluan projek-projek kerana tahun depan merupakan TMM2024, jadi kita perlu buat macam-macam persediaan untuk kemudahan berkaitan.

“Ini termasuk di lebuh raya dan jalan-jalan persekutuan yang mana saya pun dah terima senarai (projek) untuk diteliti sebelum menghulurkan bantuan,” katanya.

Datuk Seri Alexander Nanta Linggi

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis perasmian projek jalan pintas baharu dari persimpangan Jalan Alor Gajah Lama (M17) ke Taman Murai Jaya, disempurnakan Ab Rauf di Durian Tunggal, di sini, hari ini.

Laluan sepanjang 240 meter itu menelan kos hampir RM8.7 juta untuk mengurangkan masalah kesesakan trafik sehingga 60 peratus yang sering berlaku di Pekan Durian Tunggal menuju ke Ayer Keroh.

Ia memberi manfaat kepada lebih 5,000 penduduk sekitar dan dapat memendekkan tempoh perjalanan daripada 10 minit kepada tiga minit bagi pengguna laluan itu. – MalaysiaGazette.