KUALA LUMPUR – Akibat percayakan rakan, sekumpulan ahli perniagaan mendakwa menjadi mangsa beberapa skim pelaburan dan koperasi sehingga menyebabkan kerugian lebih RM10 juta.
Seramai 10 individu yang membuat laporan polis itu mendakwa ada lebih ramai mangsa namun ada antaranya enggan tampil ketika ini.
Menurut peguam mewakili kumpulan itu, Dinesh Muthal, kesemua anak guamnya telah membuat laporan polis secara berperingkat sejak dua minggu lepas berhubung penipuan pelaburan berkenaan.
“Setakat ini, 20 orang mangsa sudah tampil membuat laporan dan jumlah kerugian berbeza antara RM50,000 sehingga RM1.5 juta atau lebih lagi,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Kata Dinesh, ketika ini pihaknya akan mengambil tindakan perundangan selain berharap adanya tindakan susulan daripada pihak polis.
“Selepas lapor polis, kita juga akan buat laporan susulan dengan Suruhanjaya Koperasi serta Bank Negara Malaysia selain tindakan undang-undang. Apa yang dilakukan ini adalah penipuan terang lagi bersuluh,” ujarnya.
Seorang mangsa yang juga ejen insurans, Datuk Selvamani Ramasamy mendedahkan beliau mengenali individu yang dikenali sebagai Datuk M sebagai pelanggan insurans sejak 2009.
“Datuk M mula mendekati saya untuk mengajak saya melabur dalam perniagaannya pada 2012. Ketika itu jumlah pelaburan yang diminta hanya RM100,000. Selepas pelaburan pertama berjaya dengan keuntungan sepanjang 20 bulan, beliau ajak untuk melabur kali kedua dalam perlaburan lain.
“Melihatkan pertama berjaya memberi pulangan saya bersetuju untuk melabur kali kedua sebanyak RM15,000 sepanjang 20 bulan ia berjumlah RM300,000 tapi lepas itu tidak dapat apa-apa. Malah Datuk M buka lagi skim pelaburan lain,” katanya.
Seorang lagi mangsa yang tidak boleh dinamakan mendakwa kerugian RM3.3juta dalam tempoh 24 bulan.
“Beliau mendekati saya melalui seorang lagi rakan perniagaan dan membentangkan perancangan perniagaan yang meyakinkan, pada awalnya mangsa melaburkan RM1.5 juta dan menerima bayaran dividen sebanyak RM300,000.
“Setelah menerima dividen pertama, saya mula mempercayai beliau dan menambah pelaburan sehingga RM3.3 juta,” ujarnya.
Sehingga kini mangsa tidak dapat menghubungi pihak syarikat dan telah mendapatkan khidmat peguam untuk menuntut balik wangnya.
Mangsa turut membuat laporan polis terhadap penipuan pelaburan itu dan kes masih dalam siasatan polis.
MalaysiaGazette sedang menghubungi Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kuala Lumpur mengenai perkara yang sama. -MalaysiaGazette
Rasa nak ketawaada nak menangis pun ada..dgn harta sejumlah 3.3 juta..masih tamak lagi kononnya akan cepat kaya..Kalau sejumlah itu dilaburkan dengan pelaburan yg halal dan sahih sudah pasti akan selamat..pepatah ada menyebut Orang ramai selalu rugi macam anjing dgn bayangnya.