KUALA LUMPUR – Sesi kempen jelajah bersempena Pilihan Raya Umum Dun Ke-15 Kerajaan Perpaduan yang dinaungi Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) dilihat seolah-olah cuba menyembunyikan keberadaan DAP.
Ia disifatkan perkara yang tidak pelik oleh Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan.
Menurutnya, strategi UMNO dan PH menyembunyikan DAP agar mereka dapat ‘mewajahkan’ gabungan mereka dengan gambaran mengelirukan.
“Tetapi, buatlah macam mana sekali pun, DAP tetap DAP dan jika PH-BN diberi undi, maka parti kiri DAP akan terus menjadi abang besar.
“Paling penting, saya melihat Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi cuba menyembunyikan DAP daripada tatapan rakyat Selangor dalam program pada malam itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Wan Saiful berkata, pada sesi jelajah terbaharu di Selangor telah memperlihatkan Timbalan Pengerusi DAP Kebangsaan merangkap Pengerusi DAP Selangor, Gobind Singh diletak duduk jauh di hujung.
“Akibatnya dia sentiasa berada di luar capaian lensa kamera dan video. Berucap pun hanya empat minit sahaja.
“Jelas sekali Anwar-Zahid mahu menyembunyikan hakikat bahawa parti aliran kiri bernama DAP itu adalah parti terbesar dalam kerajaan persekutuan dan juga parti besar dalam kerajaan Selangor,” katanya.
Dalam pada itu, Wan Saiful yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor turut berkata, setiap satu undi PH-UMNO dalam pilihan raya negeri itu nanti adalah undi untuk parti left-wing DAP kembali menguasai dengan bilangan mereka yang banyak berbanding parti lain.
“Dalam ucapan Anwar dan Zahid, sekali lagi mereka terus gagal mengangkat penyelesaian masalah kos sara hidup rakyat yang kian parah, isu pencarum-pencarum meminta pengeluaran KWSP bersasar, dan isu penyelesaian masalah harga barang dan juga OPR yang dijangka akan meningkat selepas PRN.
“Tiada penyelesaian dan tiada hala tuju,” katanya lagi.
Untuk rekod, PRN bagi enam negeri akan diadakan pada 12 Ogos 2023 selepas Suruhanjaya Pilihan Raya mengumukan 29 Julai 2023 merupakan hari penamaan calon dan tempoh berkempen ditetapkan 14 hari. – MalaysiaGazette