BANGI – Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM700 juta khusus untuk program Sentuhan Kasih KPKT di sembilan buah negeri, sehingga kini.
Menterinya, Nga Kor Ming berkata, peruntukan berlandaskan pelaksanaan yang efektif dalam memastikan fokus lementerian itu terhadap kesejahteraan rakyat dapat dipertingkatkan.
“Tidak kurang enam bulan, dalam jelajah ke sembilan negeri ini, KPKT menerusi lawatan Sentuhan Kasih peruntukan telah melebihi daripada RM700 juta termasuk kepada PPR (Projek Perumahan Rakyat) yang telah kita umumkan,” katanya pada sidang media Program Sentuhan Kasih Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) di Taman Tasik Cempaka, hari ini.
Jelas Kor Ming, projek yang telah direncanakan akan bermula dengan kadar segera dan dijangka siap menjelang tahun hadapan.
Ia berdasarkan kepada siri jelajah sembilan negeri yang telah dibuat KPKT sebelum ini.
“Bukan sahaja di Selangor dan negeri-negeri yang akan ada PRN tapi juga Johor, Perak, Melaka telah kita turun, cuma Sabah dan Sarawak juga belum ada masa, lepas PRN kita akan turun,” katanya.
Pada hari ini, sebanyak RM8.24 juta disalurkan kepada Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) untuk enam jenis projek naik taraf dan penyelenggaraan infrastruktur awam di Selangor.
Keenam-enam projek tersebut adalah membaiki dan menaik taraf Taman Tasik Cempaka bernilai RM790,000; membaik pulih pasar Bazar Rakyat di Seri Kembangan (RM300,000) dan membina dan menyiapkan pejabat pengurusan di tapak Laman Niaga Komuniti Sungai Long (RM650,000).
Tiga lagi projek adalah kerja-kerja penambah baikan cerun runtuh di Taman Sri Raya Cheras dengan peruntukan RM1.5 juta; kerja-kerja kecemasan pembaikan cerun di Taman Bukit Mewah Kajang (RM2 juta) dan kerja-kerja membaiki runtuhan cerun di Jalan Lagenda Hulu Langat (RM3 juta). – MalaysiaGazette