Yahaya Othman

KUANTAN – Seorang pegawai bank kerugian sebanyak RM102,700 setelah terpedaya dengan skim pelaburan saham tidak wujud pada Jun lalu.

Ketua Polis Pahang, Datuk Yahaya Othman berkata, pihaknya menerima laporan bahawa mangsa dikatakan akan menerima memberi beberapa buah buku pelaburan secara percuma menerusi iklan yang diperoleh menerusi laman Facebook.

”Kemudian mangsa perlu memasukkkan maklumat peribadi menerusi di pautan yang diberi melalui aplikasi WhatsApp.

“Mangsa kemudian masuk ke dalam aplikasi sistem trade saham selepas menekan pautan terbabit,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Menurut Yahaya, selepas itu suspek menawarkan pelaburan saham melalui urus niaga di platform PSLUS dan dimaklumkan akan menerima keuntungan sebanyak 30 peratus setelah melabur sebanyak RM100,000.

Tambah beliau, terpedaya dengan keuntungan lumayan, mangsa telah melakukan 12 transaksi ke enam akaun bank yang berlainan dalam tempoh tiga minggu.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh dikenakan sebat dan denda jika sabit kesalahan.

Berikutan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah percaya dengan pelaburan yang menjanjikan pulangan lumayan dalam masa singkat.

Menurutnya, syarikat atau individu yang tidak diberi lesen atau kebenaran dari Bank Negara Malaysia tidak boleh menerima deposit dari mana-mana pihak.

Semakan alert pelaburan di laman web BNM https://www.bnm.gov.my/financial-consumer-alert-list dan laman web SC https://www.sc.com.my/regulation/enforcement/investor-alerts/sc-investor-alerts/investor-alert-list. – MalaysiaGazette