KUALA LUMPUR – Pelajar Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) Nehemiah Aaron Nathan telah membanggakan negara apabila merangkul Anugerah Diana 2023 baru-baru ini.

Upacara penyampaian anugerah itu berlangsung secara maya pada 1 Julai lepas sempena ulang tahun ke-62 keputeraan Puteri Diana.

UNITEN dalam kenyataan hari ini memaklumkan Nehemiah, yang juga penerima Biasiswa Tunku Abdul Rahman dan melanjutkan pengajian dalam bidang Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, adalah seorang daripada dua rakyat Malaysia serta antara 200 belia dari seluruh dunia yang diberikan pengiktirafan itu bagi menghargai pembabitan dan sumbangan mereka dalam kerja kemasyarakatan serta kemanusiaan.

“Nehemiah telah dicalonkan oleh pensyarah universiti yang juga penasihat kelabnya, Dr Evelyn Yeap Ewe Lin, untuk menerima anugerah itu,” menurut kenyataan itu.

Diwujudkan bagi memperingati Puteri Wales iaitu Diana, anugerah itu diberikan kepada generasi muda berusia lingkungan sembilan hingga 25 tahun yang mencurahkan bakti untuk mencipta serta mengekalkan perubahan positif selain mengiktiraf kerja kemasyarakatan dan kemanusiaan yang dilakuan oleh mereka.

Menurut UNITEN, Nehemiah telah dipilih untuk menerima anugerah itu selepas dia dan rakan-rakannya membangunkan ‘Zing! English Card Game’ menggunakan pendekatan pembelajaran berasaskan permainan bagi membantu kanak-kanak mengekalkan minat mereka untuk mempelajari Bahasa Inggeris.

“Dia dan rakan-rakannya iaitu Syaarveni, Ho Jia, Lee Mei Yan dan Chan Yew Joe telah mengasaskan ‘The EduLab’ iaitu sebuah perusahaan sosial bagi meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar Malaysia khususnya komuniti B40.

“Impaknya adalah ketara dengan lebih 850 kanak-kanak dari 15 sekolah rendah kerajaan dan pusat tuisyen di kawasan Lembah Klang mendapat manfaat daripada program ini dan mengalami peningkatan dalam literasi Bahasa Inggeris mereka,” katanya.

Sementara itu, Nehemiah berkata dia berbesar hati dan bersyukur kerana dianggap layak menerima Anugerah Diana.

Sebagai seorang daripada dua rakyat Malaysia yang dipilih untuk menerima anugerah itu, dia berasa amat bertuah dapat mewakili negara.

Pelajar tahun ketiga itu juga berkata mereka yang terlibat dalam aktiviti sosial memahami kepentingan pengiktirafan itu kerana ia memerlukan pendekatan holistik.

“Kita sering mendengar bahawa kita boleh berusaha untuk mendapatkan sesuatu anugerah namun Anugerah Diana adalah berbeza kerana ia adalah pengiktirafan bebas terhadap keupayaan seseorang itu untuk memacu perubahan sebenar,” katanya sambil menambah inisiatif itu turut mendapat pengiktirafan daripada organisasi terkemuka seperti McKinsey & Co serta Jabatan Negara Amerika Syarikat dan impaknya semakin berkembang.

Naib Canselor UNITEN Profesor Ir Dr Noor Azuan pula menzahirkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada pelajar terbabit atas pencapaian cemerlang mereka.

“Saya berharap para pelajar UNITEN akan terus bangkit meraih kecemerlangan dan mencipta nama bukan sahaja di peringkat nasional malah di arena antarabangsa,” katanya.- BERNAMA