Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Cadangan mewajibkan pesara untuk membuat pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) secara bulanan hanya terpakai kepada pencarum yang lahir pada 2010 dan ke atas.

KWSP dalam kenyataannya berkata, buat masa ini, tiada perubahan terhadap kaedah pengeluaran wang pencarum yang sudah berusia 55 dan 60 tahun yang mana mereka boleh membuat pengeluaran sekali gus atau memilih pengeluaran bulanan secara sukarela.

“Cadangan tersebut hanya terpakai kepada ahli KWSP baharu yang lahir pada atau selepas 2010 dan membuat pendaftaran KWSP selepas tarikh pelaksanaannya.

“Pengeluaran pertama di bawah ketetapan baharu ini hanya akan dibuat terhadap ahli-ahli yang lahir pada dan selepas 2010, beberapa dekad akan datang,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, cadangan untuk mewajibkan pengeluaran bulanan masih lagi diperhalusi.

KWSP, katanya, akan memastikan sebarang keputusan berhubung pilihan pengeluaran bulanan secara mandatori hanya akan dilaksanakan dengan penuh pertimbangan dan sejajar dengan komitmen badan itu terhadap kepentingan para pencarumnya.

Minggu lepas, kerajaan berkata sedang memuktamadkan perincian terhadap cadangan mewajibkan semua pesara melakukan pengeluaran bulanan KWSP apabila mereka mencecah usia 55 tahun.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan berkata, Putrajaya tidak mempunyai halangan terhadap cadangan tersebut dan ia bergantung sepenuhnya kepada keupayaan KWSP untuk melakanakannya.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, pengeluaran secara bulanan memberi peluang kepada pencarum untuk menerima dividen tahunan daripada baki simpanan masing-masing.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast