Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bercakap pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis Perundingan Pimpinan Kerajaan Perpaduaan di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTCKL), Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 11 JULAI 2023.

KUALA LUMPUR – Perpaduan Demi Kestabilan dan Kemakmuran dipilih sebagai tema Kerajaan Perpaduan dalam menghadapi pilihan raya di enam negeri tidak lama lagi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, negeri terbabit boleh memilih tema dan slogan tambahan bagi negeri masing-masing.

Anwar yang mempengerusikan Mesyuarat Majlis Perundingan Pimpinan Kerajaan Perpaduan malam ini juga berpuas hati dengan persiapan yang telah dibuat dalam menghadapi PRN.

Pengerusi Pakatan Harapan itu yakin parti mewakili Kerajaan Perpaduan akan mengekalkan penguasaan di tiga negeri dan menawan tiga negeri yang lain.

“Nampak semangat pendukung setia telah mendapat lonjakan dan saya percaya dengan laporan yang diberikan itu kita boleh bukan sahaja mempertahankan kekuatan di tiga negeri tetapi nampak keyakinan menawan beberapa negeri lain.

“Mesyuarat pada malam ini memberi penekanan yang kuat tentang keperluan keutuhan Kerajaan Perpaduan menjamin kestabilan supaya dapat memacu pertubuhan ekonomi dan menjamin kemakmuran dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Tambah Anwar, Kerajaan Perpaduan tidak akan melayan sebarang usaha menggugat pentadbiran bagi memastikan ia terus diperkukuh pada masa kini dan selepas pilihan raya.

Anwar juga bangga dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh pemimpin parti komponen untuk terus memperkukuhkan Kerajaan Perpaduan.

Katanya, Jelajah Perpaduan Madani yang bermula di Selangor akan diteruskan di Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Negeri Sembilan dan Terengganu.

Sementara itu, Anwar berkata, pembahagian kerusi telah hampir dimuktamadkan di semua enam negeri kecuali bagi beberapa kawasan yang masih memerlukan perbincangan.

Sementara itu, Anwar secara berseloroh berkata, Pakatan Harapan akan mengumumkan senarai calon pada 20 Julai ini selepas Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan parti itu membuat pengumuman pada 21 Julai 2023 – MalaysiaGazette