Pada majlis pemeteraian MoU tersebut UTeM diwakili oleh Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Prof Ir Dr Ghazali Omar (2 dari kiri) dan HU pula diwakili Presidennya Prof. Dr. Mohammed Saeed Khanbash.

KUALA LUMPUR – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menjalin kerjasama strategik bersama salah sebuah universiti terbaik Yaman, Universiti Hadhramout (HU) menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) baru-baru ini.

Pada majlis pemeteraian MoU tersebut UTeM diwakili oleh Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Prof Ir Dr Ghazali Omar dan HU pula diwakili presidennya, Prof. Dr. Mohammed Saeed Khanbash.

Naib Canselor UTeM, Prof Ts Dr Massila Kamalrudin berkata, menerusi kerjasama itu, UTeM dan HU akan menumpukan kepada perkongsian kepakaran bersama dalam menjayakan enam agenda berimpak.

Antaranya adalah kerjasama penyelidikan antara penyelidik UTeM dan HU dalam pelbagai bidang, penganjuran persidangan bertaraf antarabangsa secara bersama serta pertukaran staf akademik dan pelajar.

“Di samping itu UTeM dan HU turut akan menjayakan tiga program berimpak lagi yang mana merangkumi program Pasca Kedoktoran, geran padanan antarabangsa serta penerbitan bersama,” ujarnya.

Massila berkata, menerusi kerjasama yang sama juga menzahirkan kesungguhan UTeM dalam berkongsi kepakaran dimiliki merentas sempadan dunia dan pada kali ini bersama salah sebuah universiti ternama di Timur Tengah.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pemeteraian MoU antara UTeM dan HU juga turut menjadi simbolik terpatri teguh hubungan dua hala antara Malaysia dan Yaman yang sememangnya sedia terjalin erat selama ini.

Sementara itu, Presiden HU, Dr Mohammed Saeed merakamkan penghargaan kepada pihak UTeM atas kesudian dan komited untuk bersama menjayakan kerjasama berimpak ini.

“Kami yakin dengan kepakaran yang dimiliki UTeM dalam bidang teknikal dan juga penyelidikan berkaitan tentunya dapat membantu kami dalam merealisasikan agenda bersama ini.

“HU kini giat dalam proses melebarkan kerjasama di peringkat antarabangsa bersama dengan universiti-universiti terpilih dari beberapa buah negara, justeru Malaysia dan UTeM antara pilihan kami,” ujarnya.

Pada majlis tersebut turut dihadiri oleh Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi (CRIM), Prof. Dr. Zahriladha Zakaria dan Dekan Fakulti Kejuruteraan Elektronik dan Kejuruteraan Komputer (FKEKK) Prof Madya Dr Masrullizam Mat Ibrahim. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast