KUALA LUMPUR – Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) diminta bertindak tegas terhadap Israel yang bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kekejaman ke atas kem pelarian Jenin di Baitulmaqdis, minggu lepas.
Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, Israel mesti diseret ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) kerana jenayahnya dan langkah-langkah mesti diambil untuk mendakwa Israel.
Menurutnya, PBB telah melihat keganasan berterusan terhadap semua undang-undang antarabangsa oleh Israel dan regim zionis itu sentiasa terlepas dari setiap tindakan jenayah, melanggar semua klausa hak asasi manusia dalam pengisytiharan PBB.
“PBB tidak boleh bersikap double standard dalam bertindak balas terhadap tindakan jenayah Israel.
“Kutukkan masih jauh dari cukup. PBB mempunyai mandat untuk bertindak ke atas Israel,” katanya menerusi kenyataan.
Sebelum ini, tentera Israel dilapor berundur dari Jenin selepas menamatkan operasi ketenteraan terbesar di Tebing Barat yang mengorbankan sekurang-kurangnya 12 rakyat Palestin, termasuk kanak-kanak.
Tentera Israel mula melancarkan serbuan kejam ke atas kem pelarian Jenin sejak Isnin minggu lalu di bawah arahan kerajaan sayap kanan pimpinan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu.
Serbuan itu melibatkan ratusan anggota tentera, puluhan serangan dron dan kenderaan berperisai yang turut memusnahkan rumah-rumah penduduk Palestin serta jalan-jalan di sekitar Tebing Barat.
Dalam pada itu Mohd Azmi berkata, pihaknya memuji keengganan ketua PBB untuk menarik balik kecaman terhadap serbuan Jenin Israel.
Malah, MAPIM menyokong Setiausaha Agung Antonio Guterres kerana berdiri teguh di atas kebenciannya terhadap tindakan jenayah Israel.
“Kami mengutuk Duta Israel PBB Gilad Erdan yang mengecam Guterres atas kritikannya terhadap serangan tentera Israel ke atas Jenin.
“Tentera Israel telah menggunakan kekerasan yang berlebihan dan mencederakan orang awam semasa serbuan dahsyat mereka ke atas kem pelarian Jenin di Tebing Barat yang diduduki.
“Kami, bagaimanapun, melihat bahawa PBB perlu melakukan lebih daripada sekadar kutukan.
“Serangan Israel ke atas Jenin adalah jenayah perang yang jelas. Israel tidak boleh dibiarkan tanpa hukuman kerana telah melakukan serangan biadabnya terhadap orang awam,” tambahnya. – MalaysiaGazette