Anggota Bomba dan Penyelamat Unit Forensik melakukan pemeriksaan susulan kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Datuk Keramat, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 14 SEPTEMBER 2017.

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan di sini menetapkan 11 September ini bagi rayuan berhubung pembebasan seorang tertuduh (penama pertama) daripada tuduhan membunuh 23 penghuni Darul Quran Ittifaqiyah dalam kejadian kebakaran tahun 2017.

Pada masa sama, mahkamah juga akan memutuskan rayuan seorang lagi tertuduh (penama kedua) berusia 22 tahun yang didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi bagi tuduhan sama.

Untuk makluman penama pertama merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang mensabitkannya atas pertuduhan membunuh kesemua mangsa manakala pihak pendakwaaan merayu terhadap pembebasan rakannya yang dinamakan sebagai penama kedua.

Pendakwaan juga memohon penama kedua dipanggil membela diri terhadap pertuduhan tersebut.

Sepatutnya, Hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan Hakim Datuk Abu Bakar Jais yang bersidang bersama-sama Datuk Che Mohd. Ruzima Ghazali dan Datuk See Mee Chun dan dijadulkan untuk keputusan pada Jumaat ini.

Peguam mewakili kedua-dua penama ini, Haijan Omar mengesahkan kepada wakil media bahawa tarikh baharu keputusan rayuan dimaklumkan melalui surat daripada Pejabat Pendaftar Mahkamah Rayuan bertarikh 20 Jun lalu.

Seramai 21 pelajar dan dua guru pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah terkorban selepas terperangkap di tingkat tiga asrama pusat tahfiz yang marak dijilat api pada 17 September 2017.

Mahkamah Tinggi melepas dan membebaskan penama kedua tanpa dipanggil membela diri terhadap pertuduhan dihadapinya pada Januari 2020.

Manakala pada 17 Ogos 2020, Hakim Datuk Azman Abdullah membuat keputusanpenama pertama bersalah dan mengenakan hukuman penjara selama mana diperkenankan Yang di-Pertuan Agong kerana perayu yang ketika itu berusia 16 tahun merupakan pesalah kanak-kanak.

Untuk makluman, Seksyen 97(1) Akta Kanak-Kanak 2001 menyatakan bahawa hukuman mati tidak boleh dijatuhkan ke atas pesalah kanak-kanak bawah umur 18 tahun namun mahkamah boleh menjatuhkan hukuman penjara selama mana diperkenankan Yang di-Pertuan Agong. -MalaysiaGazette