Dari kiri: Amir Hariri Abd Hadi, Syaidiyah Izzati Nur Razak Maideen, R. Thanusha dan Melanie Ting Yi-Hlin.

KUALA LUMPUR – Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) mengumumkan empat calonnya akan bertanding di Selangor dalam raya negeri yang akan berlangsung awal bulan depan.

Setiausaha Agung MUDA, Amir Hariri Abd Hadi, 32, diletakkan sebagai calon di Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Serdang (N29).

Amir Hariri berasal dari Seri Kembangan, Selangor dan merupakan penerima biasiswa Chevening dari United Kingdom dan memegang Ijazah (MSc) Politik Asia di SOAS University of London.

MUDA turut meletakkan calon di DUN Batu Tiga (N41) yang akan ditandingi Timbalan Ketua Parlimen MUDA Shah Alam, Syaidiyah Izzati Nur Razak Maideen, 35.

Beliau merupakan seorang peguam dan graduan undang-undang dari Universiti Multimedia (MMU) serta undang-undang syariah dari Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat MUDA R. Thanusha, 24, pula diletakkan sebagai calon di DUN Sentosa (N48).

Thanusa merupakan graduan Universiti Tunku Abdul Rahman dan memegang Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Sains Sosial – Psikologi.

Memulakan kerjaya sebagai pelatih dalam bidang pendidikan khas di New Horizons Society, Thanusa kinii merupakan seorang guru kanak-kanak pelarian di Dignity for Children Foundation.

Turut menjadi kawasan pilihan untuk ditandingi adalah DUN Bukit Antarabangsa (N19). MUDA meletakkan Ketua Turus Penerangannya, Melanie Ting Yi-Hlin, 23, sebagai calon.

Melanie  merupakan graduan Undang-Undang dari HELP University dan merupakan Pengurus Outreach bagi Women in Power, sebuah organisasi pemerkasaan wanita dalam kepimpinan dan advokasi.

“Bertemakan Agenda Politik Baru MUDA, fokus utama MUDA ialah memastikan politik pro-rakyat dan mengangkat dasar berteraskan idea,” katanya dalam kenyataan.

Pengumuman calon MUDA yang lain akan dilakukan dalam masa yang terdekat. -MalaysiaGazette