KUALA LUMPUR – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dilihat terdesak untuk meraih sokongan pengundi Melayu pada pilihan raya negeri (PRN) apabila mendakwa orang bukan Islam paling ramai memberi rasuah.
Setiausaha Agung Pemuda MCA, Daniel Wa Wai How berkata, kenyataan berbaur perkauman dan tidak logik itu boleh dianggap sebagai menghasut kebencian dan menggugat keharmonian dan kestabilan sosial negara.
Malah menurut beliau, ia juga mampu merosakkan hubungan persahabatan yang wujud antara masyarakat majmuk di negara ini.
“Justeru, Pemuda MCA menggesa supaya Muhammad Sanusi dan barisan kepimpinan Pas menumpukan usaha mereka untuk memenangi sokongan semua rakyat dalam PRN enam negeri secara ikhlas dan melalui kerja keras bukan dengan menzalimi kaum dan agama lain.
“Janganlah rosakkan keharmonian negara semata-mata untuk memenangi sokongan kaum tertentu semata-mata,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Muhammad Sanusi didakwa membuat dakwaan tersebut dalam program bual bicara Keluar Sekejap bersama bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin dan bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan yang disiarkan secara dalam talian kelmarin.
Beliau turut mempertahankan kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang mendakwa golongan bukan Islam dan bukan bumiputera sebagai punca gejala rasuah di negara ini.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pemuda MCA, Tan Chee Hiong mendakwa, Muhammad Sanusi yang juga Pengerusi Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) cuba untuk mengalihkan isu banglo mewah di Sik, Kedah yang dikaitkan dengan abangnya.
Beliau memberitahu, Muhammad Sanusi mungkin berharap kontroversi yang dicetuskannya itu akan menyebabkan rakyat terperangkap dalam perdebatan kosong mengenai sterotaip perkauman.
“Ia sekali gus menyebabkan mereka terlupa mengenai skandal banglo mewah yang dikaitkan dengan abangnya,” jelasnya.
Chee Hiong yang juga Ketua MCA Bahagian Alor Setar menyuarakan kebimbangan terhadap masa depan negara ekoran tuduhan yang mengaitkan gejala rasuah dengan kaum atau agama tertentu.
“Pemimpin-pemimpin seperti Muhammad Sanusi yang menyebabkan dunia politik kita menjadi huru-hara,” katanya. – MalaysiaGazette