MELAKA – Promosi Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) perlu diisi dengan pelancongan dakwah selain menampilkan produk dalam lain-lain sektor.
Mufti Melaka, Datuk Abdul Halim Tawil berkata, Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) sedia bergabung dengan mana-mana pihak yang ingin merealisasikan cadangan itu.
“Pembangunan dakwah juga merupakan sebahagian daripada produk yang harus dizahirkan dalam mengisi TMM2024 dan insyaAllah Jabatan Mufti sudah ada beberapa perancangan.
“Kita mahukan TMM2024 itu diisi dengan pelancongan ilmu, dakwah dan kerohanian agar pembangunan Melaka agar seimbang dari sudut fizikal dan juga kerohanian,” katanya.
Beliau berkata demikan ketika ditemui pemberita selepas program Melaka Munajat Bersama Tuan Guru Abdul Somad dari Indonesia di Dataran Sejarah di Ayer Keroh di sini malam tadi.
Program dihadiri kira-kira 50,000 umat Islam dari seluruh negara sempena Sambutan Maal Hijrah 1445H itu diserikan lagi dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam.
Hadir sama, Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yassin.
Mengulas lanjut Abdul Halim berkata, antara pengisian pelancongan dakwah adalah melalui masjid-masjid di setiap daerah yang mempunyai sejarah penyebaran agama Islam berusia ratusan tahun.
“Selain itu saya yakin kita boleh adakan seminar-seminar dengan menjemput speaker-speaker dari luar negara yang bertaraf antarabangsa untuk menarik peserta asing menyertai kita.
“Kita juga ada kompleks Falaq Al-Khawarizmi di bawah Jabatan Mufti untuk melihat pembangunan ilmu falak dan astronomi selain terdapat galeri pameran interaktif untuk menarik minat pelajar-pelajar sekolah,” katanya.
Tambahnya, sektor pelancongan dakwah juga dapat membantu memangkin ekonomi umat Islam di tapak-tapak penganjuran program kerohanian. – MalaysiaGazette