KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak ada kuasa untuk menyekat mana-mana akaun TikTok termasuk kepunyaan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhamamd Sanusi Md Nor.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, langkah menyekat TikTok seseorang pengguna aplikasi itu adalah disebabkan oleh aduan pelbagai pihak terhadap akaun tersebut.
“Tiktok ni siapa punya? Bytedance.Ltd firma teknologi dari China. Untuk pengguna tiktok macam juga platform media sosial yang lain, tertakluk pantang larang yang boleh dan tak boleh.
“Kerajaan Malaysia ada kuasa ban (sekat) akaun TikTok kita? Jawabnya tidak. Kalau tiktok terima banyak report dan aduan oleh pengguna lain, maka tiktok akan ban la akaun yang menjadi isu itu.
“Kiranya yang ban TikTok kita ialah public bukannya kerajaan. Public buat aduan dan tiktok ban (sekat). Hari ini MB Kedah (Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor) kata content tiktok dia kena padam,” katanya yang juda Ketua Setiausaha Agung Pakatan Harapan (PH)dalam satu kenyataan, hari ini.
Saifuddin Nasution menyatakan demikian bagi mengulas dakwaan Sanusi bahawa akaun TikToknya disekat semalam, sekali gus menyifatkan tindakan berkenaan sebagai usaha menghalang kemaraan berkempen secara maya menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos ini.
Sanusi yang juga Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) mahu pihak berkaitan mengaktifkan semula akaun media sosial miliknya bagi memudahkan beliau mendekati rakyat, khususnya menjawab pelbagai tuduhan dan fitnah.
Dalam pada itu, Saifuddin Nasution menolak dakwaan Sanusi yang mendakwa Malaysia sedang bergerak menjadi seperti negara Korea Utara di bawah pemerintahan PH.
Beliau berkata, kerajaan mempunyai pelbagai isu lain yang perlu ditangani dan isu menyekat TikTok Sanusi bukan salah satu daripadanya.
“Dia kata Malaysia dah jadi korea utara!
“Saya tentunya tak setuju sebab memang bukan kerajaan yang buat, kita pun banyak kerja lain,” jelasnya. – MalaysiaGazette