TOKYO – Hujan lebat yang berterusan di timur laut Jepun telah menyebabkan banjir besar dan meningkatkan risiko tanah runtuh.
Amaran tanah runtuh telah dikeluarkan kepada sebahagian wilayah Akita, Iwate dan Yamagata.
Bandar Akita mencatat rekod hujan sebanyak 243 milimeter dalam tempoh 48 jam hingga 11 pagi waktu tempatan pada Ahad, menurut Agensi Meteorologi Jepun (JMA).
Bandar dan kawasan sekitarnya dinaiki air selepas sungai yang mengalir melalui bandar itu melimpah.
JMA turut memberi amaran, walaupun selepas hujan lemah atau berhenti, air yang melimpah dari sungai-sungai kecil akan berkumpul menjadi sungai besar, menimbulkan ancaman kepada wilayah itu dalam jangka masa panjang.
Sementara itu, sebahagian daripada Pekan Nishiwaga di Wilayah Iwate dilanda hujan setinggi 288 milimeter dalam tempoh 48 jam, paling lebat sejak 2017, kata JMA.
Pegawai cuaca berkata hujan lebat dijangka berterusan, meramalkan sehingga 60 milimeter hujan di timur laut Jepun dalam tempoh 24 jam hingga tengah hari Isnin. – Agensi