PUTRAJAYA – “Itu pandangan dia sebagai ahli politik, kita punyai pandangan sendiri,” kata Datuk Seri Zambry Abdul Kadir terhadap dakwaan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu bahawa ramai pemimpin dan ahli akar umbi UMNO menzahirkan sokongan kepada PN untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) pada bulan depan.
Bagaimanapun Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) itu meminta semua pihak untuk menunggu keputusan PRN sama ada dakwaan itu benar atau tidak.
“Tentunya sebagai ahli politik, dia (Ahmad Faizal) mengatakan dapat sokongan itu dan sokongan ini. Jadi soal sokongan apa semua, kita tengok nanti dalam pilihan akan datang.
“Kami di peringkat kita (UMNO) mempunyai keyakinan tentang gerak kerja dan sumbangan yang kita berikan dalam usaha kekalkan momentum pertumbuhan dalam negara.” katanya yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO kepada pemberita.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Perundingan Mengenai Dasar Luar Negara (CCFP) Bilangan 2, yang turut disertai pakar akademik dan wakil-wakil kedutaan Malaysia di seluruh dunia, di sini, hari ini.
Zambry berkata, UMNO menerusi Kerajaan Perpaduan yang menstabilkan negara dan memberi khidmat kepada rakyat akan meneruskan gerak kerja dirancang serta membawa masuk pelaburan ke Malaysia.
“Itu adalah tumpuan yang perlu kita letakkan dan sedang dilakukan di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap usaha membina semula negara,” ujarnya.
Semalam, Ahmad Faizal yang merupakan Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, pemimpin dan ahli UMNO yang beliau temui memintanya mencari jalan untuk memastikan PN menang ke enam-enam negeri ini yang akan menghadapi pilihan raya pada bulan depan.
“Saya terkejut, mereka minta jentera PN bekerja kuat supaya menang di enam negeri. Semua lahirkan sokongan. Saya jumpa ketua UMNO cawangan, ketua wanita UMNO cawangan, ketua pemuda UMNO bahagian, mereka sedang bantu kita berkempen,” jelasnya. – MalaysiaGazette