Asyraf Wajdi Dusuki mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Pengerusi Pakatan Harapan bagi menyemak draf akhir rundingan kerusi antara PH-BN.
Asyraf Wajdi Dusuki mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Pengerusi Pakatan Harapan bagi menyemak draf akhir rundingan kerusi antara PH-BN.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah meneliti draf akhir dokumen perjanjian mengenai hasil rundingan kerusi-kerusi di enam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos depan.

Menurut Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, draf akhir itu diserahkan beliau berdasarkan kepada mandat yang diberikan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Petang ini ke Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya membawa mandat Pengerusi BN untuk menyerahkan draf akhir dokumen perjanjian kepada Perdana Menteri untuk diteliti.

“Diteliti sebelum ditandatangani oleh kedua-dua Pengerusi PH dan Pengerusi BN mengenai hasil rundingan kerusi-kerusi yang dimuktamadkan bagi menghadapi pilihan raya di enam buah negeri bermula dengan Penamaan Calon 29 Julai minggu hadapan,” katanya di Facebook rasminya hari ini.

Dalam pada itu, Asyraf Wajdi berkata, rakyat yang cintakan kestabilan dan kemakmuran pasti mahu kerajaan negeri-negeri seiring dengan Kerajaan Perpaduan dianggotai oleh 19 parti politik mewakili pelbagai agama, kaum dan termasuk Sabah serta Sarawak dengan teras utama adalah Islam dan Melayu-Bumiputera.

“Inilah wajah sebenar Malaysia yang aman, makmur dan stabil,” katanya.

Untuk rekod, PRN 12 Ogos depan melibatkan enam negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan Kelantan. – MalaysiaGazette