Rosli dan Wan Razali selepas majlis penyampaian sumbangan kepada sembilan pelajar dalam Parlimen Kuantan yang memperoleh semua A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 di Pejabat ADUN Tanjung Lumpur hari ini.

KUANTAN – Isu Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor ditahan menjadi promosi percuma kepada Perikatan Nasional (PN) lebih-lebih lagi menjelang pilihan raya negeri (PRN) tidak lama lagi.

Pesuruhjaya Pas Pahang, Rosli Abdul Jaabar berkata, kes tersebut membuat rakyat semakin terbuka dan bijak menilai situasi sebenar yang berlaku dan akan dibuktikan semasa hari mengundi kelak.

Namun pihaknya mengharapkan agar semua ahli dan kepimpinan Pas lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan agar tidak tidak diputarbelit.

Rosli Abdul Jaabar

”Kita yakin apa yang telah dilakukan kepada Sanusi akan menghasilkan satu gelombang yang lebih besar di mana rakyat akan lebih memilih PN pada pilihan raya akan datang, ini memang keyakinan kami,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Terdahulu, Muhammad Sanusi yang juga  Ketua Pengarah Pilihan Raya PN  itu ditahan sepasukan polis di bilik penginapannya di sebuah hotel di ibu negara awal pagi ini.

Beliau yang ditahan di bawah Seksyen 4(1)(A) Akta Hasutan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak dipercayai bagi menghadapi pendakwaan di Mahkamah Selayang mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan berkenaan.

Rosli yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Lumpur berharap kemelut yang dihadapi oleh Muhammad Sanusi itu tidak berpanjangan dan akan dibicarakan pada 4 Oktober nanti.

Wan Razali Wan Nor

Sementara itu, Ahli Parlimen Kuantan, Wan Razali Wan Nor berkata, insiden yang terjadi itu merupakan lumrahdalam politik di mana dapat meningkatkan lagi kefahaman perjuangan penyokong Pas pada masa akan datang.

”Dalam perjuangan ini, perkara yang kita panggil luar biasa boleh menyebabkan penyokong-penyokong kita mendapat sesuatu kefahaman yang lebih dan sokongan yang luar biasa. Perkara yang luar biasa ini akan diterjemahkan dengan keputusan luar biasa dalam politik.

”Mungkin ada yang beranggapan penyokong down dengan insiden pukul 3 pagi tadi (penahanan Muhammad Sanusi) tapi sebenarnya mereka akan lebih bersemangat untuk mencipta sejarah pada PRN akan datang,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN:

Reaksi Sanusi Selepas Mengaku Tidak Bersalah Dua Pertuduhan

Sanusi: Tuan Ibrahim minta penyokong Pas berdoa kepada Allah

Sanusi ditahan jam 3 pagi

Kes Sanusi: Kita hormat proses mahkamah – PM

Tambah Wan Razali, ia juga akan membuka mata rakyat terutama kepada pihak atas pagar yang mengikuti apa yang berlaku melalui media sosial.

”Semua media sosial ini laju, kita boleh tengok sendiri komen dan reaksi rakyat, di situ kita boleh menilai sendiri. Saya percaya semua yang berlaku penuh hikmah di samping akan memperkukuhkan dan menambah kepercayaan rakyat kepada PN,” katanya.

Kedua-dua pemimpin Pas itu ditemui selepas menyampaikan sumbangan kepada sembilan pelajar dalam parlimen Kuantan yang memperoleh semua A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 di Pejabat ADUN Tanjung Lumpur hari ini. – MalaysiaGazette