KLANG – Kerajaan akan mengkaji semula aspek perundangan bagi isu memprovokasi 3R iaitu agama, bangsa dan raja-raja.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, sebagai permulaan, Pasukan Petugas Undang-undang (Legal Task Force) akan mengadakan mesyuarat pertamanya Jumaat ini bagi melihat isu itu daripada aspek undang-undang.
“Jumaat ini kita akan adakan mesyuarat pertama. Kita nak lihat dari aspek jenayah, kaunseling dan penekanan pendidikan sebagaimana dilakukan di beberapa negara.
“Memang ini di bawah Kementerian Perpaduan, tetapi kementerian saya hanya mahu lihat isu ini dalam aspek undang-undang,” katanya selepas Majlis Townhall UMNO Bahagian Kota Raja, dekat sini, semalam.
Azalina yang juga Ketua Penerangan UMNO Malaysia berkata, perbincangan lebih lanjut akan diadakan dalam mesyuarat Kabinet selepas mengambil pandangan badan-badan profesional yang berkaitan.
Kata beliau, pasukan itu akan berbincang lebih lanjut dan akan mendapatkan pandangan daripada beberapa pihak iaitu Majlis Peguam, badan profesional dan NGO.
“Kita nak tengok adakah ini satu masalah atau undang-undangnya mencukupi ataupun perlunya satu undang-undang baharu bagi menguasai jenayah ini.
“Ia masih dalam peringkat kajian. Kena tunggu Parlimen bersidang Oktober ini jika nak buat peraturan baharu.
“Kemudian, perlu ada sesi libat urus dan ada wakil Parlimen untuk berbahas. Sebab undang-undang di Malaysia ini kena ikut amalan demokrasi dan undi,” katanya.
Beliau pelik dengan tuduhan pihak tertentu kononnya kerajaan zalim dan melaksanakan pendekatan kuku besi apabila memberi amaran agar isu 3R tidak dibangkitkan dalam ceramah mahupun kempen pilihan raya.
Katanya, setakat ini cadangan itu masih dalam peringkat perbincangan untuk kerajaan mendengar pandangan dan nasihat daripada NGO serta badan-badan profesional. – MalaysiaGazette