Hamzah Zainuddin

KUALA LUMPUR – Beberapa jam selepas Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Selayang – Perikatan Nasional (PN) hari ini tampil mengecam tindakan pihak berkuasa menyerbu dan menangkap Menteri Besar Kedah itu.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dalam satu kenyataan menyifatkan tindakan itu sebagai dendam politik terhadap Sanusi.

“Tindakan kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim menggunakan pihak polis bagi menyerbu dan menangkap Muhammad Sanusi pada pukul 3 pagi merupakan perbuatan berlebih-lebihan dan penganiayaan yang sengaja dibuat hanya kerana dendam politik.

“Apa perlunya Menteri Besar Kedah dilayan sebegitu rupa? Sedangkan beliau telah pun memohon maaf dalam isu ini dan beliau juga telah menyatakan kesediaan memberi kerjasama sepenuhnya kepada polis dengan notis untuk hadir ke mahkamah juga telah diserah terima,” katanya lagi.

Ahli Parlimen Larut itu berkata demikian mengulas penahanan Muhammad Sanusi yang juga Pengarah Pilihan Raya PN di ibu negara pada pukul 3 pagi tadi.

Muhammad Sanusi ditahan sepasukan polis di sebuah hotel di ibu negara selepas menghadiri mesyuarat Majlis Tertinggi PN di Publika.

Sebelum itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, penahanan Muhammad Sanusi kerana pemimpin politik dan pegawai khasnya telah menolak semua panggilan polis sejak petang semalam.

Dalam pada itu, Hamzah yang juga bekas Menteri Dalam Negeri menganggap penahanan ke atas Muhammad Sanusi adalah sesuatu yang melampau.

“Adalah amat jelas cara penangkapan tersebut melampau dari kesalahan yang didakwa. Pada masa yang sama, saya menentang keras siri pendakwaan terpilih dan perbuatan menyalahgunakan Akta Hasutan bagi tujuan penganiayaan politik, memandangkan ada pemimpin bukan PN yang terbabit mengeluarkan kenyataan menghasut tidak pula dikenakan tindakan undang-undang,” katanya lagi.

Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeneri itu didakwa atas dua pertuduhan menghasut bagaimanapun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Selayang pagi tadi berhubung isu pelantikan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amiruddin Shari dan penubuhan Kerajaan Perpaduan dalam satu ceramah politik baru-baru ini. – MalaysiaGazette

3 Komen

  1. kes Hamzah n kongsi gelap bagai mana pulak?
    Kenapa masa Hamzah jadi menteri KDN banyak sangat scammer walapun ditangkap tetapi kembali aktif.
    Anak Hamzah pub scammer minyak masak berpeket…Kesian rakyat marhen kena beli minyak masak jenis berbotol..
    Ingat bila sudah jatuh mesti segala yang tersembunyi akan terdedah keburukan dia pulak.

  2. Woooii.. dendam ape nyer? Sape yg cari penyakit.?. tunggu je la proses perundangan yg menentukannya.. jgn main ulas separuh masak

Comments are closed.