Raven Kumar menyaksikan perjanjian kedua-dua pihak di Persada.

JOHOR BAHRU – Persada Johor International Convention Centre (Persada Johor) menjadi pusat konvensyen pertama di negara ini yang menyertai United Nations Global Compact Malaysia & Brunei (UNGCMYB).

Pengurus Besar Persada Johor, David Emir Bareng berkata, UNGCMYB merupakan rangkaian tempatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Global Compact (UNGC).

Ia merupakan inisiatif kelestarian korporat terbesar di dunia yang membantu pengoperasian perniagaan lebih kompetitif.

“Kami percaya dengan prinsip-prinsip kelestarian di dalam amalan perniagaan utama kami akan mengurangkan kesan negatif terhadap alam sekitar dan juga menyumbang kepada kesejahteraan sosial dan ekonomi komuniti kami,” katanya.

Bareng berkata demikian ketika berucap semasa upacara memeterai perjanjian persefahaman (MoU) antara Persada Johor dan UNGCMYB semalam.

MoU disaksikan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan, dan Kebudayaan Johor, Yang Raven Kumar Krishnasamy.

Sementara itu, Raven Kumar berkata, keputusan Persada Johor untuk menyertai UNGC sejajar dengan usaha kerajaan dalam melestarikan Johor.

“Kami percaya bahawa kelestarian bukanlah pilihan tetapi tanggungjawab yang harus kita terima. Melalui perkongsian seperti yang kita saksikan hari ini, kita dapat mencipta sinergi yang kuat, menggabungkan kepakaran dan sumber daya yang diperlukan untuk mengatasi cabaran alam sekitar yang kita hadapi,” tambahnya.

Dalam pada itu, Edey juga berkata, Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor bukan sekadar tempat untuk mengadakan acara, idea dan inovasi tetapi menjadi pemangkin perubahan dalam acara yang dianjurkan di pusat konvensyen berkenaan.

Raven Kumar dan Edey turut menyaksikan pertukaran dokumen kerjasama antara CUCKOO International (MAL) Sdn Bhd (CUCKOO International) dan Kloth Malaysia Sdn Bhd dengan Persada Johor.

Kerjasama dengan CUCKOO International melibatkan pemasangan enam penapis air CUCKOO di sekitar Persada Johor. – MalaysiaGazette