Aidi Amin Yazid.

KUALA LUMPUR – Tindak tanduk Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) terutamanya presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang tidak menyokong kerajaan semakin terang lagi bersuluh.

Malah rakyat sendiri sudah bijak menilai sifat sebenar kepimpinan MUDA yang seringkali berubah pendirian demi kepentingan mereka sendiri, kata Setiausaha Politik Ahli Parlimen Sungai Buloh, Aidi Amin Yazid.

Beliau merasakan kepimpinan MUDA sekarang sentiasa tampil memperlekehkan segala usaha Kerajaan Perpaduan selama ini.

“Saya sebenarnya simpati terutamanya dengan Syed Saddiq. Kini kita dapat lihat bagaimana ada sahaja yang tidak kena dengan Kerajaan Perpaduan di mata mereka. Semua usaha dipandang remeh.

“Tuduhan liar Syed Saddiq terhadap integriti Perdana Menteri hanya akan membuatkan Ahli Parlimen Muar itu kelihatan sebagai seseorang menentang perubahan. Kita nasihatkan beliau elak daripada buat kenyataan berkaitan kebebasan kehakiman memandangkan kes rasuah beliau sendiri masih berjalan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Aidi Amin, negara telah melalui perjalanan getir ketidakstabilan politik sejak kebelakangan ini berpunca daripada kelicikan dan penipuan ahli politik yang mementingkan diri sendiri dan korup yang sanggup mengorbankan masa depan negara demi kelangsungan hidup mereka.

Kata Aidi Amin, Syed Saddiq perlu berhenti terburu-buru dan tergesa-gesa dalam membuat pertimbangan.

“Syed Saddiq mesti mengamalkan kesabaran yang sama selama 22 bulan sebagai Menteri Belia dan Sukan dalam kerajaan terdahulu dengan tidak mengelirukan belia yang ghairah melakukan perubahan. Perubahan bukan sekadar isyarat besar,” katanya.

Jelasnya, tiada siapa yang memperkecilkan kualiti beliau dan idea parti MUDA untuk melakukan reformasi dengan mengumumkan calon-calon pilihan raya negeri di Selangor yang sebelum ini disandang PH namun keikhlasan itu menjadi tanda tanya.

“Persoalannya adalah keikhlasan niat anda yang lebih bersifat dendam untuk memecah belahkan undi PH. Di Parlimen Sungai Buloh, kami percaya melibatkan diri dengan semua pihak berkepentingan dan bekerjasama dengan semua pihak melalui reformasi minda.

“Kami sebenarnya telah menyokong MUDA dalam program untuk masyarakat pada bulan Ramadan kerana kami percaya bahawa tindakan bercakap lebih kuat daripada kata-kata,” tegasnya. -MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Abaikan perti nyamuk ni.. ada tak menambah .. tak de tak berkurang pun.. makin diulas ttg parti makin mendapat perhatian.. itu yg depa nak.. lupakan shj.. nanti parti ni pupus perlahan2

Comments are closed.