UTHM membantu membekalkan air bersih kepada penduduk kampung dengan cara menyelenggara telaga tiub sedia ada.

BATU PAHAT – Program tanggungjawab sosial korporat (CSR), Period Poverty Fasa 2, diteruskan bagi membantu penduduk Kampung Kangkar Senangar, Parit Sulong menangani masalah sumber bekalan air bersih.

Pensyarah Kanan Jabatan Teknologi Kejuruteraan Awam Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Dr Mimi Suliza Muhamad berkata, cabaran utama golongan wanita dan remaja di kampung tersebut ialah kemudahan mendapatkan bekalan air bersih.

Katanya, setelah hampir 20 tahun mengalami masalah tersebut, UTHM terpanggil untuk membantu membekalkan air bersih kepada penduduk kampung dengan cara menyelenggara telaga tiub sedia ada.

Menurut Dr. Mimi Suliza, telaga tiub itu ditambah baik dengan memperkenalkan sistem penapisan air bagi membantu komuniti Kampung Kangkar Senangar menikmati air bawah tanah yang bersih.

“Air yang dipam dari bawah tanah akan melalui proses pengoksidaan terlebih dahulu untuk mengurangkan bau pada air.

“Selepas itu, air tersebut akan ditapis menggunakan sistem penapisan yang terdiri daripada beberapa lapisan pasir dan batu sungai berserta penjerat makrokomposit yang diperbuat daripada sisik ikan tilapia yang boleh menyerap bahan-bahan tercemar di dalam air,” jelas beliau.

Sementara itu, bagi menangani masalah kemiskinan haid dalam kalangan penduduk kampung, UTHM menganjurkan sesi perkongsian ilmu berkaitan pengurusan haid dalam aspek kebersihan dan kesihatan pada 24 Jun 2023 lalu di kampung yang sama.

Perkongsian isu kemiskinan haid yang diketuai oleh  Dr Siti Nur Mariani mendapat tajaan Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, Yayasan UTHM dan Institute of Integrated Engineering (I2E). – MalaysiaGazette