BUKIT MERTAJAM, 19 Julai (Bernama) — Seorang lelaki dipercayai kurang siuman nyaris maut selepas tersangkut pada dahan pokok setinggi 20 meter di Jalan Todak 4, Seberang Jaya di sini, semalam sebelum berjaya diselamatkan pihak bomba.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 8.08 pagi sebelum sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Perai terus ke lokasi kejadian.
“Ketika pihak bomba tiba di lokasi, terdapat seorang lelaki dipercayai kurang siuman berada di atas pokok pada ketinggian kira-kira 20 meter dan kami menjalankan kerja-kerja menyelamat bagi membawa turun mangsa dengan menggunakan tangga milik jentera bomba.
“Lelaki itu berjaya diturunkan dalam keadaan yang baik sebelum diserahkan kepada polis dan pihak Kementerian Kesihatan (KKM) untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata operasi menyelamat mangsa tamat sepenuhnya pada 9.36 pagi.
Video kejadian itu turut tular di media sosial dan berdasarkan rakaman tersebut, lelaki berkenaan dipercayai ditemui tersangkut di atas pokok dalam keadaan tanpa seurat benang. – BERNAMA