Mohd Azwan Zainudin

SHAH ALAM – Gabungan Institusi Pendidikan Islam Selangor (GIPS) bimbang dengan nasib dan masa depan Sekolah Islam Persendirian (SIP) di negeri itu yang berisiko ditutup berikutan tekanan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).

Pengerusinya, Mohd Azwan Zainudin berkata, akibat daripada pekeliling yang sangat ketat dikeluarkan kepada SIP, menyebabkan hampir 80 SIP di tiga majlis bandaraya diambang penutupan.

Tegas beliau, jika tiada usaha segera diambil oleh kerajaan negeri, tidak mustahil lebih 20,000 pelajar tidak dapat melanjutkan pembelajaran mereka di SIP berkenaan.

“Penutupan 80 SIP ini bakal memberikan kesan kepada masa depan kira-kira 20,000 murid yang kini menuntut di sekolah agama tersebut. Jumlah ini amat besar dan tidak boleh dibiarkan begitu sahaja.

“Meskipun pelbagai inisiatif luaran dilaksanakan seperti elaun guru KAFA, hakikatnya kita merasakan kerajaan negeri tidak serius dalam agenda pembangunan institusi pendidikan Islam di Selangor.

“Tambahan pula, ada usaha daripada pihak tertentu yang secara jelas menggunakan kuasa PBT untuk memberikan tekanan kepada SIP,” katanya kepada media, di sini, hari ini.

Menurut Mohd Azwan, GIPS merupakan NGO yang ditubuhkan khusus memayungi ratusan sekolah agama swasta, maahad tahfiz dan SIP dalam hal berkaitan seperti pengurusan sekolah serta hal ehwal kebajikan.

Ujar beliau, GIPS juga ditubuhkan atas faktor keperluan mendesak bagi menjaga kebajikan dan kemandirian institusi pendidikan agama Islam di Selangor yang kini berada dalam keadaan tidak selamat dan diancam status pendaftarannya.

Katanya, potensi sektor institusi pendidikan agama di Selangor amat besar dan mendapat permintaan tinggi umat Islam di negeri ini.

“Kita terbuka untuk sebarang sesi perbincangan dengan pihak seperti Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), PBT dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi membincangkan isu kedudukan SIP secara matang dan konstruktif.

“Kita harap usaha bersepadu ini menghantar isyarat jelas kepada kerajaan negeri yang baharu mengenai keadaan sebenar menghimpit sekolah agama rakyat yang semakin hari semakin ditekan.

“GIPS meletakkan harapan tinggi kepada barisan kepimpinan baharu dari kalangan yang tidak menganaktirikan institusi pendidikan Islam serta serius dalam aspek pengoperasian institusi ini,” katanya. – MalaysiaGazette