Nik Saiful Adli (dua dari kanan) bersama wakil PKKM dan penduduk meninjau tapak surau Pasar Melor yang diroboh.

KOTA BHARU – Persatuan Komuniti Kedai Melor (PKKM) menggesa kerajaan Pas Kelantan membina semula surau di kawasan Kedai Melor yang dirobohkan sejak dua hari lalu disebabkan pengambilan tanah untuk pembesaran jalan.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak PKKM, Nik Saiful Adli Burhan berkata, surau baharu wajar diganti memandangkan kerajaan negeri melalui Yayasan Kelantan Darul Naim (YAKIN) sebagai pemilik tanah akan menerima pampasan melalui pengambilan tanah tersebut termasuk dengan nilai harga bangunan surau yang dirobohkan.

Beliau yang juga seorang peguam berkata, undang-undang di bawah Kanun Tanah Negara (KTN) memperuntukkan bahawa nilai sesebuah tanah adalah termasuk nilai bangunan di atasnya.

“Meskipun didirikan di atas tanah kerajaan negeri, namun kos pembinaan asal bangunan adalah hasil sumbangan orang ramai.

“PKKM dan penduduk Kedai Melor amat berharap kerajaan negeri menjanjikan sesuatu yang boleh memberi manfaat kepada penduduk, bukan lepas tangan dan menerima manfaat yang tidak adil dari pampasan perobohan surau tersebut.

“Kita juga berharap kerajaan negeri mengambil tanggungjawab untuk menggantikan surau baharu dalam kawasan berdekatan,” katanya kepada media, hari ini.

Sementara itu, Setiausaha UMNO Cawangan Kedai Melor, Ahmad Akhram Naim Ahmad Sayuty berkata, kali terakhir surau itu dibaik pulih tahun 2020 menggunakan peruntukan daripada UMNO Bahagian Ketereh.

Ini katanya, termasuk untuk kerja pendawaian elektrik, baik pulih sistem air, tandas serta baikpulih fizikal bangunan yang melibatkan kos lebih RM20,000.

Manakala Bendahari UMNO Kedai Melor, Suhaimi Ismail pula berkata, pihaknya bekerjasama dengan PKKM dan peniaga Kedai Melor bagi mendapatkan lokasi baharu sementara menunggu surau ganti.

“Walaupun ianya bukan tanah individu, namun sudah puluhan tahun peniaga dan penduduk menggunakan surau ini tanpa apa-apa halangan.

“Kita sedia pada bila-bila masa untuk membantu penduduk mencari tempat bagi peniaga di sini menunaikan solat terutama pada waktu perniagaan,” katanya.

Seorang peniaga, Affendy Mohd Zain berkata, surau yang dibina sejak puluhan tahun lalu bukan sahaja digunakan oleh penduduk dan peniaga, tetapi menjadi persinggahan orang ramai yang dalam perjalanan ke Bachok dan Pasir Puteh.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi PKKM berkata, buat masa sekarang, peniaga di atas Pasar Melor menunaikan solat di kaki lima kedai dengan beralaskan sejadah sendiri.

“Keadaan ini akan menjadi sukar terutamanya pada waktu puncak dan waktu pasar tani setiap hari Isnin,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Seronok tengok drama baru walaontit konon di halau dari solat sebuah surau/masjid sebab berbaju parti Penyakau Negara…
    Nak tanya juga,siapa pengarah n penulis skrip ya…

Comments are closed.