Para peserta bergambar dengan barisan tetamu kehormat.

KOTA KINABALU – Pusat Kerjaya dan Pembangunan Keusahawanan Pelajar (PKPKP), Universiti Malaysia Sabah (UMS) dengan kerjasama Malaysia Rail Link (MRL) Sdn. Bhd. dan Perkeso Negeri Sabah menjayakan Siri Jelajah Temuduga Negeri Sabah bagi Program Latihan Kemahiran Industri: Peluang Pekerjaan bersama Projek ECRL baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link (MRL) Sdn. Bhd., Datuk Seri Darwis Abdul Razak berkata, program itu antara lain bertujuan memberi pengenalan, berkongsi kemajuan semasa projek dan peluang pekerjaan yang sedang dan akan ditawarkan di dalam projek ECRL.

Selain itu, sesi temuduga terbuka kepada orang awam dan pencari kerja di negeri Sabah turut diadakan.

“Pada masa yang sama, program ini juga adalah bagi memberi pendedahan tentang hala tuju kerjaya dalam industri berkaitan khususnya kepada pelajar universiti sekali gus menyumbang ke arah peningkatan kadar pekerjaan dalam bakal graduan” katanya dalam satu kenyataan sempena program tersebut yang berlangsung di Dewan Seminar, Pusat Islam UMS.

Dalam pada itu, Timbalan Pengarah PKPKP, Dr. Nur Thara Atikah Zainal memaklumkan seramai 400 peserta dan calon temuduga telah menghadiri program tersebut.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program tersebut, serta berharap para peserta mendapat manfaat dari segi peningkatan ilmu mengenai industri dan pengetahuan mengenai peluang pekerjaan jangka masa panjang yang ditawarkan oleh pihak MRL

Antara peserta yang hadir pada program tersebut adalah terdiri daripada pelajar tahun akhir UMS, pelajar Universiti Teknologi MARA, Institut Kemahiran MARA, Institut Latihan
Perindustrian, Institut Kemahiran Belia Negara, Politeknik, GiatMARA, North Borneo University College dan Kolej Teknikal Yayasan Sabah. – MalaysiaGazette