TANJONG KARANG – Kerajaan tidak akan menzalimi mana-mana pemimpin pembangkang biarpun Datuk Seri Anwar Ibrahim dicaci dan dikritik secara terbuka setiap hari.
Perdana Menteri berkata, beliau tidak akan sesekali menyalahgunakan kuasanya termasuk menggunakan Akta Hasutan untuk menghukum pemimpin Pas dan Bersatu.
“Saya tak mahu zalim kepada sesiapa, jangan bimbanglah, orang Pas ke orang Bersatu ke.
“Jangan bimbang, saya tidak akan zalim kerana saya tahu apa dia sengsara duduk dalam penjara,” katanya berucap pada Majlis Sambutan Maal Hijrah Tahun 1445 Perpaduan, di sini, malam ini.
Hadir sama Ketua UMNO Bahagian Tanjong Karang, Datuk Sulaiman Abdul Razak dan Pengarah Pilihan Raya PH Selangor, Mohd Yahya Mat Sahri.
Perdana Menteri juga mengingatkan pemimpin pembangkang agar tidak melampaui batas hingga menghina Raja-Raja Melayu.
“Saya angkat tangan itu, saya lawan Dr Mahathir, orang lain angkat tangan lawan Sultan Selangor.
“Jangan (lawan), ada had dia, you kritik caci Perdana Menteri ini, macam-macam, hari-hari maki, saya ambil tindakan? Tidak,” katanya.
Sekalipun perdana menteri mengambil tindakan, tidak lebih daripada tuntutan di mahkamah dan laporan polis.
“Kalau saya saman, saman di mahkamah, saya buat laporan polis, saya tak ambil tindakan, saya tak guna Akta Hasutan.
“Raja itu dia di atas politik, Raja ini bukan Ketua parti, dia Ketua Negeri dan Ketua Negara.
“Dia main peleceh-peleceh boleh, (tapi) jawablah,” katanya
Anwar kesal apabila tindakan tegas diambil ke atas pimpinan Perikatan Nasional (PN) yang menghina Sultan Selangor, beliau pula dituduh salah guna kuasa.
“Owh ini Perdana Menteri dan Kabinet, dia sudah takut kepada kami (PN), oleh kerana itu salah guna kuasa.
“Eh….kalau saya dikritik ambil tindakan, sudah lama saya ambil, kadang-kala geram nak perosok dalam lokap,” katanya lagi. – MalaysiaGazette