KUALA LUMPUR- Lebih banyak risiko dan kos yang perlu ditanggung menyebabkan kumpulan rock lagenda Search meneruskan Konsert Fantasia Bulan Salju, 12 Ogos depan meskipun bertembung dengan tarikh pilihan raya di enam negeri.
Vokalisnya, Datuk Amy berkata, pihaknya telah mengadakan perbincangan dalaman dengan penganjur, MIC Entertainment sebaik mengetahui tarikh konsert berkenaan bertembung dengan pilihan raya negeri (PRN).
Bagaimanapun, selepas penelitian mendalam termasuk kos hotel dan penginapan yang telah ditempah pembeli tiket, mereka memutuskan untuk meneruskan konsert berkenaan.
“Ramai peminat Search menggunakan kesempatan untuk melancong ke Genting Highland bersama keluarga sambil menonton konsert.
“Bagi peminat yang tinggal jauh terutamanya yang berada di luar Lembah Klang, pastinya mereka sudah membuat tempahan penginapan lebih awal.
“Kami melihat semua perkara ini sebelum membuat keputusan meneruskan konsert pada tarikh 12 Ogos itu,” katanya.
Tiket konsert Fantasia Bulan Salju yang berharga antara RM128 hingga RM388 mula dijual sejak 16 Mei lalu.- MalaysiaGazette