Philips (dua dari kanan) melihat seorang pelajar menggunakan Sir Corner di perpustakaan digital SM St. Michael.

PENAMPANG – Sekolah Menengah (SM) St. Michael muncul sekolah pertama di Sabah mempunyai perpustakaan digital yang mengandungi lebih 100,000 pangkalan data menerusi program Perpustakaan Serambi Ilmu Rakyat (Sir Corner) Yayasan Bank Rakyat (YBR).

Perpustakaan itu kini mempunyai 80 peratus informasi berasaskan bahan bacaan digital, manakala 20 peratus lagi meliputi jurnal, buku ilmiah, fiksyen, majalah serta akhbar dalam dan luar negara secara fizikal.

Menurut Pengerusi YBR, Datuk Philip Benedict Lasimbang, dengan adanya perpustakaan digital menerusi program Sir Corner YBR itu, membuka peluang kepada pelajar menimba ilmu pendidikan tanpa batasan.

Kata beliau, program itu bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar mengenai teknik menjawab soalan peperiksaan terutama subjek teras dan elektif.

Selain itu, katanya, ia juga dapat meningkatkan motivasi dan semangat serta sebagai persediaan minda pelajar sebelum menduduki peperiksaan.

“Saya sangat teruja dengan inisiatif ini yang dilaksanakan bagi meningkatkan prestasi pendidikan serta akademik pelajar khususnya yang berada sekitar Penampang, Sabah.

“Kita sentiasa menyokong agenda pendidikan negara dan program seperti ini mampu memberikan impak tinggi kepada pencapaian pelajar yang bakal menduduki peperiksaan, selain memberi manfaat kepada semua terlibat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan Sir Corner dan perasmian program Kecemerlangan dan Kelas Bimbingan Butiza di SM St. Michael, Penampang, hari ini.

Pengetua SM. St. Michael, Jennifer Asing (dua dari kiri) menyampaikan cenderahati kepada Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal di majlis pelancaran program Kecemerlangan dan Kelas Bimbingan Butiza.

Turut hadir, Pengetua SM. St. Michael, Jennifer Asing; Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani; Ketua Bahagian Operasi YBR, Mohd Mukhti Abd. Rahman; dan Pengurus Jabatan Komunikasi Korporat YBR, Mohamad Ghazali Zainal Abidin.

Pada majlis itu juga, guru berpengalaman mendedahkan teknik menjawab soalan peperiksaan secara berkesan.

Menurut Philip, selain menaja program kecemerlangan, YBR turut melancarkan Sir Corner ke sekolah bagi memudahkan perkongsian maklumat melalui koleksi bahan bacaan digital yang bersesuai dengan komuniti setempat.

Kata beliau, program Sir Corner YBR merupakan inisiatif yang telah dijalankan sejak tahun lepas dalam menyediakan ruang yang dilengkapi dengan set komputer, meja dan 50 keahlian E-Perpustakaan.

“Kandungan dalam pangkalan data Sir Corner menjadikan perpustakaan digital ini sebagai hab pendidikan tanpa sempadan.

“Bantuan ini diharapkan dapat melancarkan aktiviti pendidikan di sekolah yang telah dirancang sepanjang tahun untuk membantu pelajar serta mempersiapkan diri menghadapi peperiksaan.

“Inisiatif YBR ini secara tidak langsung dapat meningkatkan lagi prestasi pendidikan sekolah ini dan masyarakat di bandar serta luar bandar menimba ilmu,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast