KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia dijangka terus berada dalam aliran positif dan semakin pulih susulan sentimen pelabur yang bertambah baik, walaupun dalam keadaan berhati-hati menjelang keputusan dasar monetari global, kata peniaga.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti, Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng menjangkakan keadaan pasaran kekal stabil dengan indeks utama masih pada trajektori meningkat minggu depan, berlegar di atas paras 1,400.
Beliau berkata walau bagaimanapun, terdapat kemungkinan aktiviti pengambilan untung muncul apabila pelabur mengambil sikap berhati-hati menunggu hasil mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (FOMC).
“Kami menjangkakan indeks penanda aras berada dalam aliran berjulat 1,410 hingga 1,420 minggu depan.
“Secara teknikal, FBM KLCI telah membentuk paras sokongan baharu pada 1,400, manakala rintangan kekal pada 1,415,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata peluang trajektori aliran meningkat akan lebih tinggi jika indeks utama menembusi paras rintangan 1,415.
Bagi minggu dagangan singkat ini, FBM KLCI mencatatkan dagangan bercampur-campur, disebabkan pengambilan untung sebelum penutupan pasaran pada Rabu namun berubah positif menjelang hujung minggu didorong minat belian baharu terutama terhadap sektor perbankan dan perladangan.
Pasaran ditutup pada Rabu susulan cuti umum sempena Awal Muharam.
Berasaskan Jumaat ke Jumaat, FBM KLCI meningkat 1.43 mata untuk berakhir pada 1,413.52 daripada 1,412.09 ketika ditutup minggu lepas.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 16.67 mata kepada 10,448.79; Indeks FBMT 100 naik 16.86 mata kepada 10,131.36; Indeks FBM Emas Syariah menambah 37.62 mata kepada 10,746.95; Indeks FBM 70 melonjak 51.0 mata kepada 13,876.29 dan Indeks FBM ACE menokok 49.82 mata pada 5,329.59.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 6.72 mata kepada 15,728.50; Indeks Perladangan melonjak 189.47 mata kepada 7,087.59; Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.04 mata kepada 162.86 manakala Indeks Tenaga kurang 5.48 mata kepada 817.72.
Jumlah dagangan mingguan berkurangan kepada 13.75 bilion unit bernilai RM8.08 bilion daripada 14.82 bilion unit bernilai RM9.55 bilion pada minggu dagangan lepas.
Jumlah dagangan di Pasaran Utama susut kepada 9.95 bilion saham bernilai RM7.02 bilion daripada 10.82 bilion saham bernilai RM8.35 bilion pada minggu lepas.
Jumlah dagangan waran sebanyak 1.38 bilion unit bernilai RM197.38 juta berbanding 1.56 bilion unit bernilai RM238.94 juta minggu lepas.
Jumlah dagangan Pasaran ACE pula turun kepada 2.40 bilion saham bernilai RM864.34 juta daripada 2.43 bilion saham bernilai RM958.83 juta sebelumnya. – BERNAMA