Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook ditemui selepas menghadiri Mesyuarat Agung Persatuan Institut Memandu Malaysia di ibu negara.

KUALA LUMPUR – Tiada istilah tentu menang dan semua calon DAP yang dipilih untuk bertanding perlu selalu merendah diri serta tidak terlaku angkuh dalam gelanggang Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos depan.

Itu pesanan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook walaupun yakin parti itu boleh menang di kerusi penyandang.

Katanya lagi, kemenangan atau kekalahan ketika bertanding itu bukan bergantung pada diri sendiri sebaliknya pada pengundi.

“Kita cuba sedaya upaya, kempen kenalah masing-masing bekerja kuat untuk meyakinkan rakyat. Keyakinan itu sudah tentu mesti ada apabila masuk gelanggang.

“Tetapi apa pun pemimpin kita dan juga calon-calon kita mestilah ada sifat merendahkan diri dan jangan sama sekali berasa angkuh, ini nasihat paling penting saya mahu sampaikan kepada semua calon.

“Jangan terlalu yakin sebab dalam pilihan raya ini macam-macam boleh berlaku terutama dalam tempoh dua minggu berkempen, ” katanya selepas menghadiri Mesyuarat Agung Persatuan Institut Memandu Malaysia (PIMA) di ibu negara, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai keyakinan DAP untuk mempertahankan kerusi yang disandang sebelum ini pada PRN bulan depan.

Ditanya mengenai senarai nama calon DAP, Anthony berkata, pihaknya akan membuat pengumuman penamaan calon parti dalam masa dua atau tiga hari lagi.

Sebelum ini, Pengerusi DAP Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, senarai calon DAP Pulau Pinang yang bakal bertanding dalam PRN telah diserahkan kepada Setiausaha Agung DAP untuk dibuat pemilihan terakhir.

Katanya, semua maklumat akan diumumkan apabila keputusan telah dimuktamadkan kelak. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast