Penyokong Lanun Johor mula banjiri SSI seawal pukul 3.30 petang tadi.

ISKANDAR PUTERI – Bahang aksi perlawanan akhir Piala FA antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan KL City mulai hangat dengan penyokong kedua-dua pasukan telah mula berkumpul di perkarangan Stadium Sultan Ibrahim (SSI ) seawal pukul 3.30 petang tadi.

Pertembungan membabitkan Johor Darul Ta’zim dan KL City FC pastinya menarik minat penyokong setia kedua-dua pasukan kerana mereka turun beraksi dengan membawa misi yang perlu dilunaskan.

Perkarangan SSI petang ini dipenuhi dengan warna merah biru menceriakan lagi suasana persekitaran luar stadium.

Meskipun sepak mula malam ini bermula jam 9 malam, para penyokong kedua-dua kelab tetap setia menunggu di luar pintu masuk stadium.

Hasil tinjauan MalaysiaGazette mendapati penyokong terutama penyokong lawan tidak melepaskan peluang bergambar kenangan sekitar stadium sementara menunggu perlawanan malan ini.

 

Nurul Syafiqah M Sukir

Biarpun berbadan dua, Nurul Syafiqah M Sukir antara penyokong yang tidak mahu melepaskan peluang menyaksikan perlawanan akhir secara dekat.

Syafiqah,  27, datang dari Batu Pahat bersama-sama suaminya, Mohd. Syafiq Mohd. Yasin, 24, serta ahli keluarga.

Mereka tiba jam 2 petang tadi akan memberi sokongan teguh kepada skuad Harimau Selatan.

“Ini adalah pertama kali saya datang ke stadium ini bagi menyaksikan perlawanan penting buat JDT. Walaupun dengan keadaan hamil enam bulan, ia tidak menjadi penghalang untuk menyaksikan perlawanan akhir ini,” katanya yang akan menyambut kelahiran anak sulung.

Dalam pada itu, seorang lagi penyokong, Rosli Musa, 43, merasa bertuah apabila SSI dipilih sebagai tuan rumah aksi final Piala FA, sekali gus memberinya peluang menyaksikan pasukan kegemarannya beraksi secara dekat.

Sebagai kakitangan Pos Malaysia yang menjadi penaja rasmi Liga Super Malaysia gembira kerana berpeluang melawat bilik persalinan pemain serta kawasan dalam stadium.

“Final biasanya diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil, jadi berdepan sedikit kesukaran untuk ke sana kerana perlu memohon cuti dan menempuh perjalanan yang jauh.

“Jadi, bila bermain di sini, ini adalah peluang keemasan untuk saya hadir ke stadium menyaksikan perlawanan akhir ini,” katanya yang berharap JDT akan mempertahankan kejuaraan Piala FA.

Dalam pada itu, Mohd Faizal Mohd Said, 49, lega apabila JDT menjadi venue perlawanan akhir kerana tidak perlu memandu jauh bagi memberi sokongan kepada pasukan Harimau Selatan itu.

Katanya, perlawanan kali ini adalah keenam membabitkan JDT yang disaksikan olehnya secara dekat.

“Saya harap JDT yang beraksi di laman sendiri memberi tuah buat pasukan ini,” katanya.-MalaysiaGazette