ACP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid

KUALA LUMPUR – Lelaki yang melakukan gangguan seksual terhadap seorang jurugambar wanita kini ditahan di wad Jabatan Neuorologi Hospital Besar Kuala Lumpur (HKL).

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya sedang menunggu laporan perubatan daripada hospital itu untuk melengkapkan siasatan sebelum kes dikemukakan kepada timbalan pendakwaraya.

Menurut beliau lagi,  pihaknya telah menerima laporan daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) mengenai pemilik akaun itu pada 20 Julai lalu dan individu itu merupakan seorang lelaki tempatan berumur 37 tahun dan menetap di Shah Alam.

“Orang yang disiasat (OYDS) ini sering menggunakan akaun Instagram dan Twitter untuk berhubung dengan pengadu dengan memberikan komen-komen cinta dan menghantar pesanan berbentuk lucah sehingga menyebabkan ketidakselesaan kepada pengadu,” katanya menerusi kenyataan.

Menurut beliau, suspek yang didakwa menganggu jurugambar tersebut merupakan lelaki tempatan berusia 37 tahun dan menetap di Shah Alam.

Sebelum ini, mangsa yang dikenali sebagai Acacia Diana mendedahkan dia diganggu oleh seorang lelaki tidak dikenali sejak lapan tahun lalu.

Kisah wanita tersebut tular di Twitter sehingga mengundang pelbagai reaksi warganet.

Baru-baru ini, mangsa telah membuat laporan polis kali ketiga dengan harapan lelaki tersebut diberkas.

Dalam pada itu, Mohamad Fakhrudin menasihatkan orang ramai supaya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan dan menyebarkan apa-apa juga bahan di mana-mana platform bagi mengelakkan sebarang spekulasi sehingga menjejaskan siasatan pihak polis.

Kertas siasatan tersebut disiasat di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia Malaysia (AKMM) 1998.-MalaysiaGazette