KUALA LUMPUR – Pemuda Perikatan Nasional (PN) Selangor mengecam keras aksi jijik kumpulan The 1975 ketika mengadakan persembahan dalam konsert di Good Vibes Festival 2023 di Litar Antarabangsa Sepang, semalam.
Ketuanya, Mohamed Sukri Omar menegaskan, aksi jijik yang secara terang dan jelas mempromosikan budaya LGBT itu satu penghinaan besar kepada undang-undang negara serta budaya dan adab ketimuran yang menjadi teras negara bangsa Malaysia.
Kata beliau, tindakan vokalisnya, Matty Healy memegang botol arak dan mencium pemain bass kumpulan itu, selain mempertikai undang-undang Malaysia tidak boleh dibiarkan begitu sahaja.
“Bagaimana Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (PUSPAL) bawah Kementerian Komunikasi Digital (KKD) boleh meluluskan persembahan kumpulan The 1975 yang terkenal dengan sejarah aksi jijik sama di Dubai sebelum ini?
“Kami menggesa KKD memperhalusi dan mengkaji semula keberkesanan serta fungsi PUSPAL yang dilihat tidak berkesan dalam menapis persembahan artis luar negara agar nilai sopan santun dan moral Malaysia terpelihara.
“Kami juga menegaskan Islam tidak melarang sebarang hiburan, tetapi, setiap perbuatan kita termasuk tatacara berhibur hendaklah berpandukan nilai moral dan ajaran Islam yang mampu menjamin kesejahteraan dan kemakmuran masyarakat serta negara,” katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan, konsert kumpulan itu dihentikan selepas Matty yang terkenal dengan aksi biadab menunjukkan pelbagai aksi kurang sopan di hadapan peminat.
Dalam konsert itu, Matty dilihat memegang botol arak di atas pentas ketika melakukan persembahan, selain meludah dan melakukan aksi kurang sopan.
Malah, Matty juga membuat ucapan menghina undang-undang negara berkaitan isu LGBT sebelum mencium pemain bass The 1975, Ross McDonalds di atas pentas.
Serentak itu, polis akan memanggil pihak penganjur konsert kumpulan The 1975 susulan tindakan biadab vokalisnya.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan dilaporkan berkata, pihak penganjur akan dipanggil memberi keterangan berhubung perkara itu, petang ini.
Mengulas lanjut, Mohamed Sukri berkata, Pemuda PN Selangor menggesa kumpulan The 1975 memohon maaf atas keceluparan mereka mempertikai undang-undang negara Malaysia serta atas aksi jijik di khayalak. – MalaysiaGazette