KUALA LUMPUR – Pemergian Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub merupakan satu kehilangan besar bukan sahaja parti bahkan buat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan keluarga.
Perdana Menteri berkata, Allahyarham Salahuddin sentiasa teguh dalam perjuangan Pakatan Harapan (PH) yang panjang sebelum ini hingga ke akhir hayatnya, hari ini.
“Saya amat terkesan tatkala Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan juga seorang sahabat yang setia Yang Berhormat Datuk Seri Salahuddin Ayub telah pergi dijemput Allah SWT hari ini.
“Jasa dan budinya tentunya tidak termampu dibalas secara materi,” katanya Anwar dalam satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu Salahuddin menghembuskan nafasnya yang terakhir di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah, jam 9.23 malam ini.
Perkara itu disahkan Setiausaha Akhbar kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup itu, Nur Syakirin Husnal dalam satu kenyataan, jam 10 malam tadi.
Jumaat lalu, Salahuddin dikejarkan ke hospital berkenaan untuk mendapatkan rawatan pada pukul 10.15 malam selepas mengalami mual dan muntah-muntah.
Timbalan Presiden Amanah itu juga telah disahkan mengalami pendarahan otak oleh doktor pakar hospital berkenaan.
Menerusi kenyataan Nur Syakirin pagi semalam, Salahuddin selamat menjalani pembedahan di hospital sama.
Dalam pada itu, Perdana Menteri juga berkata, Allahyarham dikenali kerana mempunyai sikap keperibadian yang tinggi, sama ada kepada kawan mahupun lawan.
“Sosok yang kuat bekerja dan sangat taat pada amanah dan tanggungjawab.
“Berehatlah, sahabatku.
“Semoga Allah SWT memberi kesabaran yang tinggi buat keluargamu, mengampunkan segala dosamu dan semoga saudaraku Salahuddin diberikan tempat yang istimewa di sisi-Nya, Insya-Allah,” katanya lagi. – MalaysiaGazette